swimming-pool
Kolam mengiringi panjang bangunan.

INGINKAN penginapan selesa sewaktu bercuti di Pulau Lagenda, Mahsuri, ingat pada Aseania Resort & Spa Langkawi. Terletak di Pantai Cenang, resort ini besarnya bagaikan sebuah hotel. Ada 5 perkara yang mungkin buat anda teruja di Aseana Resort Langkawi. 

Langkawi- aseana-resort
Aseana Resort & Spa, berwajah ceria setelah diberikan warna menyerlah.

Menginap di situ, lima perkara buat saya terkenangkannya. Pertama, kolam mandi yang mengiringi panjang bangunan. Dibina berkonsepkan taman tema air mini, kolam asal ditambah ukuran kepada 154.4 meter, sehingga mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Record sebagai kolam terpanjang di Malaysia.

red-aseana-resort
Cat merah menyerlah menarik tumpuan.

Kedua yang boleh membuatkan teruja, taman air mini yang menawarkan kolam berombak, air terjun, jakuzi, sundeck, lazy river dan gelongsor, tentunya menjadi kesukaan bagi mereka yang gemarkan kegiatan air.

Bagi mereka yang hobinya bermain air, berenanglah di situ sepuas-puasnya sama ada untuk menghilangkan stres atau mengurangkan lemak.

waterfall
Air terjun dan kolam berombak di Aseana Resort & Spa Langkawi

Ketiga, dari mana-mana balkoni mengadap ke belakang, disajikan latar pemandangan kolam biru syahdu. Panorama membuat hati tertawan sewaktu menginap di Aseania Resort & Spa Langkawi, sempena satu program pada 2015, anjuran Anita Entertainment and Production, tajaan My Beauty Herbs.

Keempat, di hujung kolam sebelah kanan, gah terbentang air terjun buatan yang tinggi dan besar tersergam. Air deras mengalir menuruni tembok batu tegak yang sengaja dibina untuk melengkapi landskap bertemakan air itu.

Kelima, tidak jauh dari situ terdapat Sari Dewi Spa http://www.variaseri.com/2015/09/17/relaks-sekejap-di-sari-dewi-spa-tempat-untuk-membelai-diri/disediakan untuk mereka yang gemar memanjakan diri. Anda boleh mendapatkan khidmat urutan dan facial untuk meremajakan tubuh.

Landskap comel itu dibentuk mengiringi kehadiran Sari Dewi Spa, satu lagi mercu tanda resort, yang terserlah keindahannya dengan binaan pondok dan arca air terjun.

sitting-area
Tempat duduk bersantai di bawah teduhan jerami.

Bangunan utama resort terletak di kawasan tersendiri seluas 3 hektar (7.519 ekar). Dari fasad hadapan, keadaannya memanjang selari jalan utama, menggamit pandangan menerusi reka bentuk binaannya.

Sewaktu di situ, kami diberikan bilik luas dan lapang dengan dua katil kelamin. Tilam  tebal dan gebu ternyata memberi kepuasan kepada tetamu bermalam. Difahamkan sayap itu baru sahaja selesai diubah suai ketika itu.

Terdapat lebih 217 bilik penginapan untuk ditempah meliputi Superior, Deluxe dan Super Deluxe, Family Suit sebilik, dua bilik dan tiga bilik yang diberikan penataan gaya semasa. Kadar sewa bilik dan tawaran boleh semak http://www.aseanialangkawiresort.com/accommodation.aspx  Bilik penginapan tentunya berhawa dingin dan dilengkapi bar mini, selain terdapat kemudahan membuat minuman dan tv satelit.

Semua aktiviti utama terutama kegiatan makan dan persembahan berpusat di halaman belakang. Dari lobi, tetamu perlu berjalan menuruni tangga untuk ke restoran yang searas dengan perkarangan kolam.

landskap-5 Perkara Yang Buat Anda-Teruja-di-Aseana-Resort-Langkawi
Landskap di luar berhampiran kolam renang

Kami dibawa melawat ke sekitar resort oleh pihak pengurusan. Berjalan dari hujung ke hujung bangunan, terasa betapa panjangnya kawasan Aseania Resort & Spa. 

Di sisi kolam, terdapat pentas persembahan dibina khas daripada kayu reka bentuk bercirikan bangunan tradisional Melayu. Keadaannya terbuka di bahagian hadapan dan berbumbung di belakang sebagai unsur hiasan kejur yang melengkapi landskap. Tidak dinafikan kehadirannya melengkapkan tarikan persekitaran, selain diguna hampir setiap hari menerusi program yang dirancang.

Pengunjung boleh memilih untuk makan di restoran atau bar, iaitu Restoran Laguna, Pool Bar dan Pool Side Terrace. Hidangan tempatan dan antarabangsa disediakan di Laguna Coffee House.

Mercu tanda “Aseania” dalam potongan abjad berwarna putih sayup tertera di puncak bukit, berlatarkan kehijauan rimba yang sejuk mata memandang. Biarpun kedudukan huruf nama itu tinggi dan jauh ke belakang, namun kerana dipasang melebihi paras ketinggian bangunan, ia kelihatan sayup dari hadapan, bahkan turut kelihatan dari jalan utama. 

aseana name

Mercu tanda Aseana yang dibina di puncak air terjun.

Melihat latar hutan di sekitar, sungguh mendamaikan. Bersatu dengan warna biru kolam, membuat persekitaran tampil redup lagi nyaman.

Bagi mereka yang mempunyai urusan bisnes, jangan Aseania Resort & Spa, turut menyediakan segala kemudahan yang diperlukan seperti dewan mesyuarat, seminar dan sebagainya.

Terletak sekitar 6.5 km dari Lapangan Terbang Langkawi, lebih mudah untuk anda sampai ke situ kerana memandu mengambil masa 15 minit sahaja, sementera dengan banar Kuah, 20 minit.

resort-building
Bangunan memanjang dan melengkung dilihat dari hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here