
Hotel Glenmarie & Golf Resort Malaysia meraikan anak yatim Rumah KIDS dengan jamuan High-Tea menjelang tahun baru pada musim perayaan Natal Disember lalu. Gembira sungguh anak-anak dari Persatuan Rumah Kanak-Kanak Ini Disayangi (Rumah K.I.D.S) dapat makan-makan sambil melihat persembahan badut di majlis itu.

Kanak-kanak yang hadir gembira dapat memenuhi senarai hajat mereka melalui hadiah sumbangan dermawan daripada kalangan tetamu semasa bazar yang diadakan di lobi hotel sebelum itu.
Kanak-kanak itu kelihatan gembira dan terhibur dengan persembahan badut yang melayani mereka dengan mesra, di majlis yang diacarakan oleh Parjit Singh.
Di Malaysia banyak rumah anak yatim dan rumah perlindungan. Berbuat kebajikan itu amalan mulia dan terpuji serta dituntut dalam agama mana sekalipun.
Tidak mensyaratkan untuk kaum tertentu, Rumah KIDS menerima saja kanak-kanak yang dibenar atau diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijaga. Beroperasi sejak 30 tahun lalu, Rumah KIDS mendapat banyak sokongan daripada orang awam daripada segi sumbangan kewangan dan makanan.
Namun pengurusannya terganggu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bantuan makanan dan aktiviti kanak-kanak di luar tersekat, kata Panir Paul, Pengerusi Kehormatnya.

Dengan penghuni seramai 42 orang di empat rumah yang ada, kos operasinya setiap bulan adalah RM60,000, kata Panir
Menurut beliau lagi, penghuni rumah itu berusia dari 1 hingga 20 tahun, tetapi had sebenar adalah sehingga 18 tahun.
“Saya memohon untuk melanjutkan penjagaan sehingga 20 tahun untuk kanak-kanak tertentu. Misalnya anak yang berusia lebih 18 tahun yang ada sekarang adalah penghidap austime ringan, kami terus menjaganya kerana mereka masih dalam pengajian dan latihan, ujar beliau lagi sambil menambah kanak-kanak di Rumah KIDS bukan kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

“Mereka adalah daripada kalangan anak terabai, terdampar dan yang terbabit dengan kes dera dan yang ibu bapanya terbabit dengan kes polis,” jelasnya sewaktu temu bual bersama Varia Seri. Panir mula dilantik Pengerusi Kehormat sejak setahun lepas.
Kalau sebelum ini Rumah KIDS mengkhusus dalam urusan penyediaan makan minum dan tempat tinggal, ujarnya; “Di bawah saya, fungsi Rumah ini diluaskan kepada pengajian akademik dan latihan kemahiran.

Hotel Glenmarie Golf & Country Resort dengan sokongan Rumah KIDS menganjurkan bazar amal dari 24-26 Disember 2021 bagi kutipan sumbangan perbelanjaan rumah berkenaan meliputi untuk keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal dan perlindungan serta pendidikan.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Besar Glenmarie Golf & Country Resort, Jung Chul Soon.