Ardence Lab
Ardence Lab, tempat menarik di Selangor

Bersempena Sambutan Hari Malaysia Ke-58, Jom Tinjau Seleksi Tempat Tumpuan Rakyat Berbilang Kaum di Selangor.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, yang mana keharmonian dan keamanan yang dikecapi pada hari ini disebabkan sikap tanggungjawab dan toleransi yang telah lama dipraktikkan oleh semua kaum di Malaysia. Bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September ini, Tourism Selangor bawakan jenis-jenis tempat tumpuan di Negeri Selangor yang digemari seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa bagi meraikan kemuafakatan yang kita miliki!

  1. Tempat Pemandangan Cantik
Bukit Broga. Kredit foto – Uma.Kanaphaty IG

Siapa saja tidak suka pemandangan indah dan cantik kan? Negeri Selangor juga ada banyak tempat tumpuan yang menawarkan pemandangan indah. Ada di antaranya sangat sesuai dijadikan tempat penggambaran atau beristirahat bersama keluarga dan kenalan. Tempat pemandangan indah di sekitar Negeri Selangor berkonsep alam semula jadi, mahupun jenis buatan manusia. Antara yang boleh lawati seperti Sky Mirror Kuala Selangor, i-City Shah Alam, Pekan Sekinchan, Sabak Bernam dan juga Ardence Lab Eco Ardence, Setia Alam.

  • Tempat Makan
Ali Muthu & Ah Hock Kopitiiam. Kredit foto – Aisyafrump IG

Sudah tentu ketika waktu begini, kita tidak boleh tinggalkan aktiviti paling digemari ramai iaitu, makan! Selain bersantai bersama keluarga dan kenalan sambil menikmati makanan yang terhidang, anda boleh nampak kemakmuran apabila pelanggan berbeza kaum dan bangsa duduk bersama di satu meja makan.  Antara tempat tumpuan makan terkenal dalam kalangan semua bangsa adalah Kopitiam seperti Chong Kok Kopitiam dan Ali Ah Hock dan Muthu Kopitiam, serta tempat makan durian seperti Durian SS2 dan Durianity. Anda juga boleh singgah ke SS15, Subang Jaya iaitu salah satu syurga makanan di Negeri Selangor yang mempunyai pelbagai pilihan tempat makan seperti Nomms, Jibril dan Gold Chili.

  • Pantai dan Taman
Pantai Remis. Kredit Foto – Umar.Yasir1 IG

Anda juga boleh menyambut Hari Malaysia bersama keluarga tersayang dengan mengadakan aktiviti perkelahan atau riadah. Taman riadah di Negeri Selangor kebanyakannya menawarkan pemandangan indah dengan kemudahan mencukupi. Selain daripada taman, pantai juga lokasi sesuai boleh dilawati oleh semua lapisan masyarakat, dan pada masa sama, dapat mengukuhkan semangat perpaduan. Pantai dan taman boleh dilawati di Negeri Selangor termasuk Pantai Remis, Pantai Morib, Taman Botani Negara Shah Alam dan Taman Tasik Cyberjaya.

Taman Tasik Cyberjaya. Kredit fot0 – Heartshots IG

Aktiviti mendaki juga aktiviti kegemaran rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan kaum. Mendaki adalah salah satu aktiviti mampu membantu anda mendapatkan fizikal dan mental yang sihat kerana kegiatan ini memerlukan kecekalan minda dan badan. Negeri Selangor juga mempunyai beberapa bukit yang bukan sahaja mempunyai trek mendaki yang agak mencabar malah juga menawarkan pemandangan yang mampu memikat hati anda. Antara bukit yang anda boleh daki termasuk Bukit Broga dan Bukit Kutu. Namun, harus diingatkan, terdapat beberapa lokasi pendakian di Negeri Selangor yang memerlukan anda memohon permit sebelum memulakan aktiviti pendakian.

Bukit Kuttu. Kredit foto – Faroukhatta IG

Selain daripada aktiviti mendaki, ada juga aktiviti lain yang lebih mencabar. Melalui aktiviti sukan, anda bukan sahaja dapat meraikan Hari Malaysia, malah juga boleh meningkatkan semangat toleransi dan kerjasama bersama peserta-peserta lain yang berbilang kaum dan bangsa. Antara tempat menawarkan aktiviti sukan yang luar biasa meliputi penyedia perkhidmatan White Water Rafting di Sungai Selangor, Skytrex Adventure Sg Congkak, dan District21.

White Water Rafting Hulu Selangor. Kredit foto – Ainamariah IG

Bukan sahaja menyambut Hari Malaysia, anda juga boleh menambah kenalan dari pelbagai lapisan masyarakat dengan melakukan aktiviti di tempat-tempat seperti di atas. Hormat-menghormati dan sikap toleransi adalah amat penting dalam memastikan kemakmuran sebuah negara yang terdiri dari berbilang bangsa dan kaum seperti Malaysia.

Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan mengucapkan, “Selamat Menyambut Hari Malaysia yang ke-58 kepada semua rakyat Malaysia. Penghasilan artikel khas sempena Hari Malaysia ini adalah salah satu inisiatif Kempen Hari Kebangsaan – Tourism Selangor Prihatin yang telah bermula dari 13 Ogos lalu sehingga 16 September untuk menyemarakkan semangat nasionalisme dalam menyambut Hari Kebangsaan ke-64, dan seterusnya, Hari Malaysia ke-58”.

“Kempen ini bergerak aktif melalui hantaran atau posting di laman media sosial rasmi Tourism Selangor, di laman Instagram, Facebook, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube. Kempen yang dijalankan ini memberi tumpuan kepada perkongsian kandungan yang berkaitan dengan tempat-tempat menarik sekitar Negeri Selangor yang kaya dengan nilai sejarah, mahupun yang digemari pelbagai bangsa. Orang awam juga dapat menyaksikan rakyat dari pelbagai latar-belakang meluangkan masa beraktiviti di satu tempat yang sama di Negeri Selangor”, tambah Tuan Azrul Shah.

Namun, harus diingatkan, teruslah mengikuti dan mematuhi langkah keselamatan yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara untuk membendung penularan wabak Covid-19. Ikuti SOP seperti memakai topeng muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial di mana sahaja anda berada.

Untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke tempat tumpuan di Negeri Selangor, sila ikuti segala kemaskini dari akaun rasmi media sosial Tourism Selangor termasuk di Instagram Twitter, Facebook, TikTok dan juga Saluran YouTube, atau layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here