Saluran You Tube Sugu Pavithra kembali diaktifkan semalam setelah kesemua video dalam saluran itu sebelum ini dipadam. Memulakan dengan persembahan memasak Dalca Tulang Kambing, resipi pertama yang dimuat-naik selepas 98 video sebelumnya dipadam atas sebab mereka sahaja yang mengetahuinya.
Mengaku tidak mahu lagi ada kaitan dengan You Tube, namun sehari dua kemudian mereka menyatakan akan mengaktifkan semula saluran itu. Pengikutnya tertunggu-tunggu persembahan masakannya, dalam tempoh tidak sampai seminggu mereka memuat naik video baru, mengenai cara memasak Dalca Tulang Kambing sempena kedatangan perayaan Aidil Adha.
Pavithra kelihatan lebih bertenaga memberi penerangan langkah-langah membuat Dal Tulang Kambing. Kali ini tiada lagi suasana makan bersama ahli keluarga seperti mana sebelum ini pada penghujung rancangan.
Ada pengikut meluahkan rasa kekurangan tanpa suasana begitu, tetapi kerana begitu perubahan rancangan video mereka kali ini, maka penonton kena terima sajalah.Apa yang penting, adalah resipi dan langkah memasak yang teratur yang dipersembahkan oleh Pavithra boleh menjadi rujukan.
Umum tahu apa yang berlaku kepada pasangan suami isteri, pemilik saluran Sugu Pavithra, baru-baru ini, tidak perlu diulaskan lagi. Namun yang menjadi rasa terkilan pengikut, apabila semua videonya sebelum ini dipadam sedangkan video-video itu menjadi kesukaan ramai kerana dengannya mereka kini tahu cara untuk memasak masakan selera India dengan rujuk kepada video terbabit.
Bukan sahaja diikuti oleh penonton tempatan, malah juga di luar negara. Malah Youtuber pasangan suami isteri berbangsa Jepun yang gemarkan masakan Malaysia, turut meniru salah satu masakannya yang dipersembahkan dalam saluran You Tube mereka dan turut ditonton sedunia.
Apabila seseorang memadam semua video dalam saluran You Tube, bermakna saluran itu kehilangan semua jumlah tontonan yang terekod sebelum ini, yang juga bermakna kehilangan sumber bayaran daripada video-video berkenaan. Kerugian bukan sahaja kepada pengikut yang kehilangan sumber rujukan memasak resipi makanan yang mudah difahami, bahkan pemilik saluran juga kehilangan banyak pendapatan daripada video yang dipadam itu.
Memuat naik semula bermakna mereka perlu mengumpul jumlah tontonan semula daripada kosong. Bagaimanapun mujurlah mereka tidak menyahkan akaun YouTube berkenaan, bermakna jumlah subscriber mereka masih ada. Walaupun ada yang menyatakan enggan lagi menjadi pengikut saluran itu kerana kecewa dengan apa yang berlaku, tetapi ramai lagi yang masih setia menjadi pengikut.
Terkini saluran Sugu Pavithra mencatat 797,000 Subscribers dengan 406,000 tontonan baru setakat ini.