Hiasan dalaman salun gaya rumah. Gambar-gambar ini membawa kenangan sewaktu bertugas di sebuah majalah hiasan dalaman, yang tersohor suatu ketika dahulu.
Gambar oleh Ahmad Zurin Noh dan penulis asal seorang pelajar pelatih ketika itu, Maliah Surip. Tugas saya mengedit dan mengemaskan penulisan ceritanya, namun cerita asalnya tidak dipaparkan di sini, artikel di bawah sekadar memaparkan penerangan baru, yang khusus dan terperinci mengenai gambar-gambar yang dipaparkan.
Selamat menghayati ilham hiasan dalaman salun – Chantique Salon yang memilih tema bercirikan nusantara, menggabungkan warisan barangan dari negara Indonesia, Filipina dan Malaysia. Chantique Salon mendapat sentuhan arkitek Lintas Interni, dengan mengambil kira kehendak pemilik salon ketika itu, Shurin Ismail.
Keluasan 850 kaki persegi. Lokasi di Hotel Istana. Tahun 2001
Macam dalam rumah tetapi ini sebenarnya adalah ruang menunggu di sebuah salun. Perhatikan gaya penataannya, menonjolkan pengunaan perabot kayu jati melalui dua kerusi Betawi, meja kopi dan rak.
Siling tidak dibiarkan kosong, ditambahkan karakter tarikan menerusi jaluran kayu yang menampilkan kesinambungan dengan bentuk penyandar kerusi, daripada jaluran kayu jarang.
Meja tambahan di sudut turut dipilih daripada jenis kayu, yang seragam warna tema ruang salun ini.
Gaya penataan di salah satu sudut dinding yang memberi ragam suasana cosy ruang.
Penataan di satu sudut menampilkan pengadang berpanel jarang dan kayu berukir kerawang, ditambahkan dengan hiasan pokok segar dalam pasu yang diletak di atas kaki kayu berwarna seragam. Pokok hidup dibiarkan berjurai memberi imej cosy dan natural kepada ruang dalaman.
Lampu gantung pencahayaan ke bawah menambahkan unsur estetika sudut ruang salun yang berlantaikan warna kecoklatan ini.
Kaunter bayaran ringkas sahaja menggunakan sebuah meja kurus dan sebuah kerusi jati berlengan, disisinya diletakkan sebuah pasu berisi bunga heliconia besar. Sementara di belakang tempat duduk diletak rak serba guna.
Tikar mengkuang dan kayu bingkai cermin, bersatu membentuk hiasan di kawasan kerja salun. Ini ialah tempat pelanggan duduk sewaktu rambut dipotong, sungguh selesa dengan kerusi putih beralas lengan. Pilihan warna putih meredakan kekelaman tema warna cokolat yang diperlihatkan oleh perabot dan kemasan kayu.
Warna putih kerusi seiring dengan warna dinding yang dibiarkan kosong tanpa secalit cat. Coklat dan putih berpadu dalam ciri warna neutral, memberi suasana tenang dan alami. Ini gaya penatan paling mudah, tanpa pening untuk memilih jenis warna yang pelbagai. Segalanya menggunakan warna semula jadi.
Kawasan privasi dilindungi panel kayu.
Tempat duduk pelanggan yang ditata rias di bahagian ini diberikan panel pengadang menggunakan kayu persis daun pintu. Panel kayu rata di bahagian atas dengan gaya berjalur ram di bahagian bawah. Ruang terlindung ini untuk pelanggan wanita bertudung.
Penggunaan cangkerang siput dan pinggan tembikar warna alami coklat dan kehitaman, seiring dengan tema penataan keseluruhan ruang, yang bersuasana neutral
Di sebelah rak kayu serba guna diletakkan meja kecil yang mempunyai tempat simpan majalah di bahagian bawahnya. Sementara di atas menja diperlengkapkan dengan lampu meja berterendak, warna putih.
Kredit foto: Majalah Anjung Seri