tip-sadness
Ubati kedukaan, elak berduka lara

Mengawal stres, yang dikatakan punca menyebabkan pelbagai penyakit. Memang kita selalu mendengar perkataan ini yang dikaitkan berlakunya penyakit. Anda mungkin sedang mengalami keadaan tidak selesa di sana sini pada tubuh badan. Apakah ia berpunca daripada stres. Apakah maksud stres sebenarnya? Dan bagaimanakah untuk mengatasinya?
Terima kasih pada sharimi yang mengumpul data mengenai cara untuk mengawal stres. Cari punya cari, kebanyakan maklumat terkumpul dalam tulisan Sharimi selain merujuk satu artikel di Utusan Malaysia. Alhamdulillah dapatlah banyak tip yang boleh diamalkan untuk mengawal stres.

Maksud stres
Tekanan atau stres adalah sebarang jenis perubahan yang menyebabkan rasa tegang fizikal, emosional dan psikologi. Keadaan ini adalah biasa. Semua insan mengalami tekan berkaitan kerja, keluarga, keputusan, masa depan dan sebagainya.

Tekanan membabitkan fizikal dan mental. Ia mungkin disebabkan kejadian utama dalam kehidupan seperti kesakitan, kematian orang tersayangi, sesuatu perubahan dalam tanggungjawab atau dugaan di tempat kerja, kenaikan pangkat, kerugian, masalah kewangan atau perubahan tiba-tiba atau tidak dijangka.

Sebagai respons kepada tekanan harian, badan secara automatik menambahkan tekanan darah, denyutan jantung, pernafasan, metabolisme dan aliran darah ke otot. Respons ini bertujuan membantu badan bereaksi secara pantas dan berkesan terhadap sesuatu keadaan yang tegang. Mengawal stres itu sangat penting.

Bagaimanapun, apabila anda sentiasa bertindak balas terhadap keadaan yang banyak tekanan (stressful), sama ada kecil atau besar, tanpa membuat penyesuaian fizikal, mental, dan emosional bagi menangani kesannya, maka anda boleh mengalami tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, tenaga, kecerdasan dan hubungan peribadi serta profesional anda. Lantaran itu, fahami unsur-unsur utama yang membawa tekanan dalam kehidupan anda dan ambil tindakan mencegahnya.

Namun begitu, sedikit sebanyak tekanan juga perlu, ia boleh membawa kesan positif. Tekanan sedikit dalam kerja membuat seseorang berusaha lebih keras atau termotivasi sehingga cemerlang. Kunci untuk mengurus tekanan ialah memastikan tahap tekanan sesuai, untuk mendorong ke arah peningkatan. Asal jangan sampai tahap tekanan boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Stres atau tekanan berkait jiwa, adalah perasaan tiada arah haluan; misalnya

  • gagal mengawal sesuatu keadaan
  • rasa bersalah terhadap kelewatan atau kegagalan untuk menyempurnakan komitmen
  • komitmen berlebihan berbanding masa yang ada
  • perubahan yang berlaku bukan disebabkan perbuatan sendiri
  • sesuatu keadaan tidak menentu dan dugaan kuat.
  • kesan tekanan bergantung kepada bagaimana kita memandangnya iaitu sikap kita terhadap sesuatu keadaan. Misalnya, berpindah rumah adalah keadaan tekanan yang tinggi.

Pun begitu sama ada tekanan itu melemahkan atau sangat mengembirakan bergantung bagaimana seseorang bertindak balas terhadap situasi tertentu. Adakah ia satu pengalaman pahit atau satu cabaran yang merangsang?

Kaedah terbaik untuk menangani tekanan atau mengawal stres ialah untuk membasminya. sebagai contoh, andai anda tahu anda alergi dengan habuk, sentiasa berjaga sediakan persekitaran tempat tinggal yang sentiasa bersih, jangan masuk ke tempat diketahui berhabuk, pakai penutup hidung atau baju berlengan panjang apabila masuk di tempat berhabuk. Jadi, habuk terhalang sampai ke tubuh. Dengan itu, tidaklah memberi kesan dan tekanan pun tiada.

Andai tekanan adalah kerana sesuatu keadaan, pilih sesuatu teknik yang boleh diguna untuk menghadapinya bagi mengawal stres. Ubah tekanan anda kepada satu motivator dengan memandang sesuatu keadaan secara positif. Ada beberapa cara mengurangkan tekanan untuk berasa senang dan tenang.


Berikut 7 cara dipercayai paling berkesan untuk mengawal stres bagi mengatasi tekanan jiwa.


1. Senaman pernafasan.

Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan mententeramkan minda.

Tarik nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan kuat serta hembuskan nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan penuh. Semasa menghadapi tekanan, pernafasan menjadi lemah dan pantas. Bernafas dengan kuat cara berkesan mengekalkan ketenangan. Senaman pernafasan berguna kerana boleh dibuat di mana-mana sahaja dan memberi kesan positif serta merta. Jadikan bersenaman ini satu tabiat harian.


2) Tafakur melegakan minda.

Apabila bertafakur bersendirian tanpa sebarang gangguan, otak menjadi tenang dan hormon tertentu yang memajukan kesihatan dibebaskan. Minda yang senang dan lega membantu kita mengelakkan tekanan. Setiap hari kita perlu beri sekurang-kurangnya 15 minit untuk bertafakur.


3) Membayangkan.

Menggambarkan atau visualization membantu membayangkan anda mencapai tujuan dan cita-cita seperti menjadi sihat dan berasa tenang;

Menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan menangani situasi konflik secara berkesan. Juga, membayangkan anda membuat kerja dalam usaha menguasai dengan cemerlang, sebenarnya berfungsi sebagai latihan fizikal. Jadi, anda boleh menambahbaik prestasi melalui imanginasi atau membayangkannya.


4) Urutan (Massage).

Terapi pengurutan mengurangkan denyutan jantung dan melegakan badan. Ia juga menambahkan kecerdasan minda. Justeru sekali-sekalah pergilah berurut dengan pakar.


5)Kelegaan otot.

Berbaring, bersenang-senang dan dan membiarkan otot anda di muka, tangan, bahu dan leher mengendur sekuarang-kurangnya tiga minit. Latihan ini boleh dibuat mana-mana sahaja dan ini boleh membantu anda berasa tenang dengan cepat dan mudah.


6)Muzik.

Terapi muzik mendatangkan banyak faedah kesihatan bagi yang mengalami tekanan dan juga kesakitan teruk. Muzik sesuai boleh mengurangkan tekanan darah, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Anda perlu memilih muzik ringan dan yang anda sukai dan dengannya setiap hari.


7)Urus masa.

Kenalpasti kerja harian mengikut keutamaan dan menetapkan satu jadual supaya dapat menyiapkannya mengikut keutamaan tanpa berlengah. Kenalpasti kerja tidak berfaedah dan membazir masa seperti bergossip kosong, perbualan di telefon. Beri lebih masa untuk kerja lebih penting.

Selain teknik diterangkan di atas, anda boleh lakukan pelbagai aktiviti dengan anak-anak; berjalan sekurang-kurangnya dua kilometer sehari; pergi berenang di sungai atau pantai.

8. Beri perhatian kepada pemakanan

Pemakanan penting untuk kesihatan, pilih yang bermutu dan berkhasiat serta yang tidak alergi kepada tubuh sendiri.

9. Tidur lapan jam setiap malam

Kurang tidak kita sudah sedia maklum membawa kemudaratan kepada tubuh dan minda.

10. Menonton

Kesan daripada menonton cerita yang menyeronokkan membuat hati senang. Justeru tontonlah rancangan kesukaan misalnya kartun atau lawak jenaka (komedi) atau baca komik (kerana mengikut pakar perubatan gelak ketawa dan kelucuan melegakan otot, mengurangkan tekanan darah, menambahkan tahap tenaga, dan menyegarkan sistem pernafasan dan darah). Tapi jangan pula berlebih-lebihan, kerana nanti akan terjadi pembaziran masa.

Sumber rujukan : Utusan Malaysia, 29 Mac 2006

LANGKAH – LANGKAH MENGAWAL STRES

Langkah 1 – Fahami Punca Stres
– Selidik punca penyebabkan stres anda
– Cari masalah dalam diri satu persatu.
– Cuba ubah rutin dan kebiasaan yang dilakukan sehingga
menyebabkan ketegangan.

Langkah 2 – Letakkan Keutamaan
– Senaraikan keutamaan untuk dilakukan
– Jangan lakukan semua kerja tanpa memberi keutamaan
kepada yang lebih penting.
– Bertindak ikut keutamaan untu mengelak buang masa dan melakukan sesuatu merugikan.

Langkah 3 – Selesaikan Masalah Satu Persatu.
– Selesaikan masalah kecil sebelum ia menjadi lebih besar.
– Cuba selesaikan masalah yang ada pada waktu yang sesuai.
– Dapatkan interaksi dan komunikasi lebih berkesan kerana ia
boleh menyelesaikan pertelingkahan dan masalah.

Langkah 4 – Menangis
– Titisan air mata dapat menjadi teman dan menceritakan seribu masalah.
– Menangis amalan sihat untuk melapangkantekanan minda dan jiwa. Wanita lebih mudah menzahirkan emosinya melalui tangisan berbanding lelaki yang lebih kerap memendam perasaan dan menganggap menangis adalah sesuatu yang mengaibkan.

Langkah 5 – Ketawa
– Dapatkan masa untuk duduk bersama sahabat handai yang pandai berjenaka untuk mengembirakan hati.
– Ketawa membantu meningkat keupayan pernafasan dan denyutan jantung, kegiatan otot dan suhu badan juga dapat
diaktifkan. Proses ketawa boleh membantu membuang toksid di dalam badan
dan darah dapat berjalan dengan lebih lancar.

Langkah 6 – Bersenam Atau Beriadah
– Bersenam tidak hanya mencergaskan fizikal, bahkan mental juga
lapang setelah berpeluh
– Ketegangan jasmani dapat dielakkan dengan kerana peredaran darah berjalan lancar kerana otot-otot digerakkan.
– Bersenam juga boleh membakar lemak yang boleh membawa penyakit di dalam badan.

Langkah 7 – Menyanyi, Menari Dan Menjerit.
– Anda boleh melepaskan stres dengan menyanyi dalam bilik air tanpa
mementingkan sangat senikata sambil menitiskan airmata
– Pasang lagu rancak dan sesuai untuk menari sepuas hati sehingga berpeluh.

– Menjerit. Cari tempat yang sunyi dan jeritlah sekuat tenaga. Anda juga
boleh mendapatkan tempat yang bising seperti di tapak pembinaan
ataupun di dalam kebisingan waktu hujan dan di mana-mana
mengikut kreativiti.

Langkah 8 – Curahkan Perasaan Dalam Diari.
– Bila anda merasa tertekan akibat marah, sedih, kecewa dan sebagainya, tulislah segala-galanya di dalam diari
– Tidak perlu mencatatkan secara detail perasaan anda. Cukup sekadar sedikit catatan. Simpan diari di tempat rahsia
– Kebiasaanya kita akan tertawa apabila membaca semula catitan kita itu di lain masa kerana selalunya ianya terlalu remeh tidak seperti apa yang digambarkan didalam diari.

Langkah 9 – Luahkan Pada Sahabat Karib.
– Mungkin anda melihat masalah itu terlalu berat, tetapi mungkin tidak pada sahabat karib anda.
– Luahkan kepada sahabat anda itu perasaan anda kerana ia dapat mengurangkan bebanan stres.
– Kemungkinan masalah anda akan selesai dengan pendapat dan pandangan sahabat anda itu.

Langkah 10 – Bertafakur.
– Melakukan penilaian semula terhadap pertuturan, perbuatan dan tingkahlaku yang telah dilakukan.
– Secara bertafakur dan bertenang anda boleh membuat pertimbangan, di mana yang patut diperbaiki dan punca timbulnya masalah sehingga anda dapat ketegangan.
– Pejamkan mata rapat-rapat dan lihatlah ke dalam diri, siapakah anda sebenarnya dan apa yang anda ingini.

Langkah 11 – Ketahui Had Kemampuan.
– Tahu bila bermula dan sepatutnya berhenti serta jangan terlalu memaksa diri.
– Jangan terlalu membuang masa kepada perkara yang anda tidak lagi mampu ditanggung.
– Serahkan sesuatu urusan itu kepada orang yang lebih layak atau mahir melakukannya supaya anda tidak terus-terusan tertekan.

Langkah 12 – Berusaha Dan Berserah.
– Bertawakallah kepada Tuhan setelah kita berusaha dengan sehabis baik.
– Banyakkan melakukan perbuatan mahmudah (baik) dan menjauhkan
perbuatan mazmumah (jahat) serta tambahkan amalan-amalan sunat seperti puasa, sembahyang, zikir dan sebagainya.
– Jangan biarkan hidup anda terus tertekan. Berusaha mendapatkan jalan keluar bagi setiap masalah.

Langkah 13 – Bersantai
– Setelah berusaha keras melakukan rutin, anda perlu mencari sedikit ketenangan seperti berekreasi di taman, berkelah di sungai atau di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai untuk memanjakan diri dan minda.
– Lakukan juga kegiatan yang tidak terlalu membebankan minda dan
memberikan keseronokan.
– Rehatkan diri sebentar sebelum memulakan tugasan baru.

Langkah 14 – Ambil Mudah.
– Biar sebesar mana dugaan yang diterima anggaplah ia sesuatu yang mudah dan jangan terlalu membebankan fikiran.
– Jika boleh dan sesuai, bawalah tugasan yang tidak boleh diselesaikan itu pada keesokkan harinya.
– Jangan terlalu membebankan masalah anda sehingga hidup jadi tak keruan dan sukar tidur atau kurang selera makan dan sebagainya.

Langkah 15 – Mengadu Kepada Kaunselor.
– Sekiranya anda tidak mampu menyelesaikan masalah anda, dapatkan kaunselor yang boleh membantu.
– Kaunselor dapat membantu proses penyelesaian masalah mengenai tindakan yang perlu diambil.
– Kaunselor dapat memberitahu apa yang mungkin anda tidak sedar mengenai diri sendiri.


Langkah 17 – Refleksologi Atau Akupuntur.
– Melalui refleksologi kaki, punca penyakit dapat dikenalpasti.
– Akupuntur dapat melegakan kesakitan dan membantu menghilangkan tekanan yang ditanggung.
– Cara ini sesuai untuk mengatasi masalah stress.


Langkah 18 – Hipnosis
– Anda berhadapan dengan pakar yang membawa anda memasuki satu suasana yang indah.
– Anda kemudian disuruh membayangkan masalah yang dihadapi, airmata keluar tanpa disedari dan seterusnya anda disuruh melontarkan masalah tersebut jauh-jauh. Apabila tersedar anda
berasa segar dan ringan tanpa masalah.
– Teknik ini sebenarnya bermain dengan fikiran bawah sedar dengan membersihkan masalah yang menganggu tanpa disedari.

Langkah 19 – Terima Keadaan Seadanya.
– Jangan mengharapkan sesuatu keadaan berubah mengikukehendak kita kerana tidak semua yang kita ingini akan menjadi kenyataan.
– Dalam keadaan ini ada baiknya jangan terlalu mengharap sesuatuyang terlampau hebat supaya anda tidak merasa terlalu kecewa jika tidak memperolehinya.
– Terima keadaan seadanya dan berbahagia dan menghargai apa yang ada tanpa membandingkan dengan apa yang orang lain dapat.


Langkah 20 – Amalkan Sikap Dan Gaya Hidup Sihat.
– Bersikap terbuka dalam semua perkara dengan membuka minda dan anda sedia menerima sesuatu bencana.
– Sedar dan mensyukuri bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah Taala dan ada hikmah disebaliknya. Gunakan kelebihan fikiran yang dikurniakan Tuhan untuk mengatasi masalah mendatang.
– Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang
dan hidup secara teratur serta terurus dan jangan melakukan kegiatan yang tidak sihat dan merosakkan diri dan kehidupan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here