Lindungan-Bulan's-Tomb
Makan Puteri Lindungan Bulan Bukit Kota Siputih kini Kampung Siputih
Lindungan-Bulan's-Tomb
Makan Puteri Lindungan Bulan Bukit Kota Siputih kini Kampung Siputih

Wahai Bulan, walau bagaimana terang sekalipun cahaya mu menerangi malam, aku mohon supaya engkau tidak menyuluh sinar mu ke tempat persembunyian anak ku.”

Sultan Sulaiman Shah mengharapkan bulan tidak menyinari kawasan tempat persembunyian anakandanya, si puteri bungsunya (Puteri Zaleha). Sebelum ditangkap oleh angkatan Raja Aceh, baginda sempat berpesan demikian kepada Bulan. Kenapa Puteri Zaleha disembunyikan dan kenapa Raja Kedah, Sultan Sulaiman Shah ditangkap oleh pihak Aceh?

Kepada Allah Sultan Sulaiman berdoa agar Bulan melindungi anakandanya dengan tidak menyuluh ke kawasan persembunyian Puteri Zaleha agar musuh tidak dapat mencari pintu ke kubu bawah tanah tempat puteri itu bersembunyi.

Kisah dikatakan berlaku di negeri Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Shah. Puteri jelita yang mempunyai keistimewaan itu dicari angkatan Raja Aceh, untuk dibawa pulang.

Sultan Sulaiman Shah memerintah Kedah berpusat di Kota Siputeh pada kurun ke-16 mempunyai dua puteri iaitu Puteri Zaleha, yang bungsu dan Puteri Mariam, kakak kepada Puteri Zaleha. Kedua-duanya jelita, mewarisi paras bonda mereka.

Namun Tengku Zaleha lebih menjadi buah mulut kerana digambarkan sebagai puteri dengan kecantikan luar biasa, didakwa memiliki keistimewaan seperti Mahsuri iaitu berdarah putih, sementara Puteri Mariam, berdarah merah seperti manusia biasa.

Atas keistimewaan itu ditambah dengan kecantikan dan budi pekerti yang sangat tinggi, Tengku Zaleha lebih disayangi ayahanda dan bondanya.

Cerita puteri berdarah putih itu bukan saja popular di negeri di Jelapang Padi itu dan negeri berhampirannya malah melangkaui seluruh Nusantara termasuk sampai ke pengetahuan raja Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.

Kebetulan kononnya, sebelum itu baginda bermimpi melihat dua gadis jelita keluar daripada sekuntum bunga melur gergasi, ahli nujum mentafsir dua puteri dalam mimpi itu adalah puteri kepada Sultan Sulaiman Shah yang memerintah Kedah. Salah seorang daripada mereka dikatakan berdarah putih. Ini membuat Raja Aceh taksub untuk meminang puteri itu kerana keistimewaannya.

Raja Aceh datang buat pertama kali ke Kedah untuk meminang Puteri Zaleha. Mengetahui hajat Raja Aceh, Sultan Sulaiman Shah bertindak menukar Tengku Zaleha dengan Tengku Mariam kerana tidak mahu Puteri Zaleha jatuh ke tangan raja itu yang terkenal dengan perilaku suka berganti isteri. Dalam versi lain menyebut Raja Aceh ingin meminang Puteri Zaleha untuk puteranya.

Namun, rahsia identiti puteri berkenaan terbongkar selepas Tengku Mariam yang diperisterikan Sultan Iskandar dibawa pulang ke Aceh. Ada dua versi bagaimana rahsia ini terbongkar.

Versi satu menyebut bahawa Tengku Mariam terpotong jarinya ketika memotong sayur untuk dimasak dan mengeluarkan darah merah bukan putih. Versi kedua dia terpotong jari ketika mengacip pinang.

Sedarlah Raja Iskandar bahawa isterinya bukan Tengku Zaleha yang dikatakan berdarah putih. Kemurkaan menyebabkan baginda mahu membalas dendam menyerang Kedah. Namun, belum sempat tentera Aceh tiba, Sultan Sulaiman sempat membina kubu bawah tanah untuk menyembunyikan Tengku Zaleha.

Akhirnya, berlaku perang di antara Kedah dan Aceh. Kekuatan tentera Acheh memang sukar ditandingi, akhirnya Kota Seputeh musnah, Sultan Sulaiman Shah dan permaisurinya serta orang kenamaan dan ramai rakyat baginda dibawa ke Aceh sebagai tawanan.

Sebelum mereka dibawa ke Aceh, Sultan Sulaiman berdoa supaya Tengku Zaleha yang disembunyikan di dalam kubu bawah tanah dilindungi Allah, dengan meminta agar bulan tidak memancarkan cahaya ke kawasan persembunyian Tengku Zaleha.

Selepas memusnahkan istana dan kota berkenaan, tentera Aceh gagal menemui Tengku Zaleha. Walaupun ketika itu bulan mengambang terang namun pintu masuk ke kubu persembunyian puteri itu menjadi gelap hingga tentera Aceh tidak dapat mengesannya.

Berasaskan peristiwa inilah, lahirnya nama gelaran Puteri Lindungan Bulan kepada Tengku Zaleha, namun sedihnya puteri itu dikatakan meninggal dunia di dalam kubu berkenaan di sebabkan tiada siapa tahu keberadaan puteri berkenaan di situ dan ketiadaan makanan.

Kisah Puteri Lindungan Bulan tidak kurang pentingnya kepada sejarah pentadbiran dan kesultanan Negeri Jelapang Padi itu walaupun sebahagian daripada cerita berkenaan sudah bercampur-aduk dengan mitos. Namun kewujudan makam Puteri Lindungan Bulan di atas bukit kecil di Kampung Siputeh, Jitra menjadi bukti ia bukan kisah dongeng atau penglipur lara.

Hal ini diakui bekas pensyarah yang kini aktif sebagai pengkaji sejarah khususnya negeri Kedah, Datuk Shaarani Hassan yang juga anak jati kampung berkenaan.

Sementara itu, Puteri Mariam turut mendapat gelaran tersendiri apabila dia kemudian dinamakan sebagai Puteri Bintang Kejora. Cuma, bagaimana nama itu diperoleh tidak begitu diketahui.

Apa yang pasti, kewujudan makam di atas bukit kecil di Kampung Seputeh bukan hanya menarik kedatangan pengunjung, bahkan mampu menyebarkan hikayat kisah Puteri Lindungan Bulan sebagai legenda yang pernah wujud di negeri Kedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here