Puteri Gunung Ledang, nama sinonim dengan Gunung Ledang, di Tangkak, Johor Darultakzim. Namun cerita di sebalik nama itu, tidak semua tahu. Paling tidak, mereka tahu yang Puteri itu ada di Gunung Ledang. Naik ke Gunung Ledang, pernahkah sesiapa terjumpa dengan Puteri Gunung Ledang (PGL) ? Walhal PGL ialah legenda dahulu-kala, sudah begitu lama berlalu, masakan masih ada hingga sekarang?

Cerita disebar dari mulut ke mulut pada zaman dahulu, namun dalam era moden dan mellenium ini, kisahnya semakin dilupakan. Kisah Puteri yang dikatakan hidup semasa zaman kesultanan Melaka itu, kini semakin tenggelam dek arus zaman. Ada menganggap ia hanyalah dongeng! Namun nak dikatakan dongeng, nama Puteri tu ada di sebut dalam buku Sejarah Melayu.

Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang (PGL) dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud Shah, sehingga mengutuskan rombongan meminang. Patuh kepada arahan raja, maka pergilah wakil terbabit ke tempat Puteri berkenaan. Mengetuai rombongan peminangan ialah Laksamana Hang Tuah. Bersamanya adalah Tun Mamat dan beberapa pengiring lain.

Tempat tinggal Puteri dikatakan di puncak Gunung Ledang. Laksamana Hang Tuah sudah biasa dengan jalan ke puncak gunung itu di sebabkan semasa kecil, di kawasan itulah beliau berguru silat dan kepahlawanan. Sesampai di kaki Gunung Ledang, Laksamana Hang Tuah yang ketika itu sudah tua, menugaskan Tun Mamat naik ke puncak gunung kerana kudratnya sudah kekurangan daya.

Selepas melalui pelbagai rintangan, sampailah Tun Mamat ke puncak gunung, dikatakan di situ beliau menemui kumpulan dayang dan ketuanya seorang nenek tua yang mengaku dirinya Nenek Kebayan. Nenek itu mendakwa sebagai wakil Puteri. Perundingan mengenai peminangan pun berlangsung di antara Tun Mamat dan Nenek Kebayan.

SYARAT PEMINANGAN

Sebagai syarat untuk menerima peminangan itu, Nenek Kebayan memberitahu syarat yang kononnya ditetapkan oleh PGL ialah seperti berikut.

“Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang; jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka; tujuh dulang hati nyamuk; tujuh dulang hati kuman; tujuh tempayan air mata anak dara; tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda Melaka (darah Sultan Ahmad Shah, Melaka iaitu anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak).

Tun Mamat terkejut mendengar tujuh syarat yang mustahil dipenuhi itu. Beliau kemudian turun menemui Hang Tuah dan menceritakan hal berkenaan. Kemudian mereka meninggalkan tempat itu.

Hakikat di sebalik syarat berat itu, dikatakan sebagai cara halus PGL menolak pinangan Sultan Mahmud. Hang Tuah menyedarinya. Sengaja diberikan syarat yang sukar untuk ditunaikan dan dikatakan juga Nenek Kebayan yang berunding dengan Tun Mamat itu sebenarnya Puteri yang menyamar.

Demikian secebis daripada kisah PGL yang terakam dalam buku Sejarah Melayu.

BANYAK VERSI CERITA

Dalam buku Hikayat Hang Tuah, bagaimanapun menyebut Sultan yang meminang Puteri itu bukannya Sultan Mahmud tetapi Sultan Mansor Shah.

(Bagaimapun dalam karya agungnya Sulalatus al-Salatin (Sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud yang setelah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan puteri raja biasa kerana ia bererti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya, “…yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang, kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang;…….” ).

Yang mana satukah yang benar? Sultan Mahmud atau Sultan Mansor Shah? Wallahualam.

Perihal versi Sultan Mahmud Shah yang menghantar rombongan peminangan, mengisahkan Sultan Mahmud Shah menerima semua syarat, termasuk membina jambatan emas dari Melaka ke gunung di Johor sebagai syarat peminangan puteri itu. Namun sampai sekarang tiada siapa pun pernah menjumpai jambatan itu walaupun kesan binaannya.

(Sultan Mahmud adalah Sultan kelapan dan terakhir memerintah Kerajaan Melaka dari tahun 1488 hingga 1511)

Punca Sultan Mahmud mahu meminang Puteri Gunung Ledang dalam satu versi, dikatakan bermula dengan kemangkatan permaisurinya. Sultan Mahmud ingin mencari ganti isterinya tetapi mahukan wanita yang bukan daripada kalangan orang biasa-biasa. Justeru, Hang Tuah yang sudah tua selain Sang Setia dan Tun Mamat dititahkan supaya melamar PGL

MEMBAYANGKAN KEZALIMAN RAJA

Secara tersirat, Hang Tuah sedar peminangan Sultan ditolak secara kiasan oleh PGL. Lalu akibat kecewa kerana gagal menyempurnakan titah raja, Hang Tuah enggan kembali ke istana dan menghilangkan diri di sungai.

Tun Mamat pulang menyampaikan syarat peminangan kepada Sultan Melaka. Tanpa memahami maksud tersirat di sebalik syarat hantaran, Sultan Mahmud mengerahkan seluruh rakyat menyediakan tuntutan supaya baginda dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang.

Keadaan dalam negara menjadi kacau-bilau apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak penduduk turut dirampas.

Lebih zalim, kalangan gadis dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lain dikerah mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya walhal pinang muda tidak berair.

Selepas bertahun-tahun, akhirnya semua hantaran berjaya disediakan kecuali satu, iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad. Sultan Mahmud diceritakan tidak sampai hati untuk membunuh anakandanya yang masih kecil tetapi hasutan nafsu menyebabkan baginda tidak mempedulikan apa-apa lagi. Lantas dada kecil Raja Ahmad cuba ditikam.

Bagaimanapun, ketika keris hampir menembusi dada kanak-kanak itu, tiba-tiba Puteri Gunung Ledang menjelma di hadapan Sultan.

Puteri itu menzahirkan kekecewaannya terhadap Sultan Mahmud yang sanggup menindas rakyat dan menumpahkan darah zuriatnya sendiri kerana tergila-gilakan wanita yang tidak pernah dikenali. Puteri Gunung Ledang menjelaskan beliau menolak pinangan Sultan Mahmud dan rentetan kejadian itu akhirnya menginsafkan baginda.

PERSOALAN VERSI CERITA

Benarkah jambatan emas dan perak itu telah dibina? Di manakah tempatnya? Melewati masa, tiada kesan tinggalan jambatan yang ditemui. Menerusi laman sesawang informasi Wikipedia, tertera maklumat pihak tertentu percaya jambatan emas dan perak itu wujud tetapi tertimbus di bawah tanah.

Wikipedia dalam satu versi lain menyebut, Puteri Gunung Ledang tidak pernah mengemukakan tujuh syarat hantaran tetapi syarat itu direka Tun Mamat dan Hang Tuah dengan harapan Sultan Mahmud faham yang pinangannya ditolak. Pulak!

Ada juga versi mengatakan Sultan Mahmud gagal menunaikan semua syarat pelik itu sekali gus menjelaskan jambatan itu tidak pernah dibina.

Dengan pelbagai versi cerita, sukar untuk mempercayai secara pasti mengenai kisah peminangan PGL, melainkan mungkin legenda semata-mata. Itu bagi mereka yang tidak percaya.

PUTERI RAJA JAWA ATAU BUNIAN?

Begitu juga mengenai identiti diri PGL, ada menyatakan kononnya PGL bukanlah manusia tetapi ratu bunian, jin atau makhluk kayangan. Bagaimanapun, ada juga pihak tertentu dan pengkaji yakin PGL adalah manusia iaitu puteri raja dari Jawa. Dikenali dengan pelbagai nama, iaitu Raden Puteri Mas Nyawa, Gusti Puteri Adjeng Ratno Dumilah Sari, Raden Ratna Gumilah Sari, Raden Puteri Ratna Gumilah Sari dan Puteri Siti Jamilah binti Sultan Alam Fattah al-Akbar.

Mengikut pendapat itu, ketika remaja, PGL dihantar ayahandanya dari Jawa untuk menuntut ilmu agama di Pulau Besar, Melaka. Selepas itu, puteri berpindah ke Gunung Ledang bersama pengikutnya untuk bersuluk dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Mengenai dakwaan kononnya Puteri Gunung Ledang adalah bunian atau jin, pihak skeptikal berhujah sememangnya gunung dan hutan menjadi kediaman jin dan tidak mustahil makhluk halus itu menyamar sebagai Puteri Gunung Ledang untuk menipu manusia.

Apa yang pasti, analisis beberapa versi pengkisahan di atas, ternyata tidaklah sama dengan fakta dalam cerita filem PGL.

Sumber rujukan:

  • Wikipedia
  • Berita Harian

Lagi kisah misteri

Kisah destinasi terpencil di Jambi http://www.variaseri.com/2020/04/13/danau-kaco-mutiara-tersembunyi-di-daerah-jambi-indonesia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here