Kolam hiasan Deepavali. Corak menarik beraneka warna di lantai, bagaikan sebuah lukisan cat. Terbentang beraneka warna meriah dengan tona bertentang, mencuri tumpuan. Boleh dilihat di ruang legar pasaraya, kompleks beli-belah, hotel atau bangunan umum menjelang musim perayaan Deepavali. Hakikatnya kolam bukan sekadar untuk penyeri ruang, ada lagi tujuannya ia disediakan, misalnya sebagai hidangan.

Kolam dalam bahasa India, hasil kerja tangan seni ini dikenali Rangoli atau Muggu, iaitu yang kita lihat sebagai unsur hiasan untuk merai kunjungan tetamu dan memeriahkan perayaan itu, namun dalam budaya Hindu, ia mempunyai makna tersirat iaitu sebagai hidangan untuk makhluk selain manusia. Itulah yang dimaksudkan dengan kolam bukan sekadar untuk penyeri ruang.

Reka corak kolam asalnya terdiri daripada lingkaran gelung melengkung atau berbucu, yang disusun sekitar corak titik grid menggunakan beras putih yang diwarnakan, dikatakan berasal dari India Selatan. Pilhan warna menyerlah seperti kuning, merah, hijau, yang bertentang diguna sebagai tarikan.

Pada peringkat awal mengenali Kolam , tertanya-tanya daripada apa lukisan itu dibuat, sehingga pada satu musim perayaan itu, terserempak dengan kegiatan melukis Kolam. Beberapa petugas sedang membentuk kolam di ruang legar Virgo Batik Resort, Perak. Lantas mendekati mereka untuk melihat sendiri apa diguna untuk membentuk hasil seni tangan itu. Ya, beras putih yang diwarnakan, itulah jawapannya.

Kolam hiasan Deepavali

Bahan

Di tangan salah seorang daripada mereka terdapat sebuah besen berisi beras yang dicampurkan pewarna makanan, seperti merah, hijau dan, kuning. Beras berwarna itu diasingkan dalam bekas berlainan, lalu diletak teliti dengan tangan di permukaan lantai yang hendak dibentukkan Kolam.

Lantai menjadi medium utama Kolam, tidak kira apa jenis hatta permukaan tanah, ditaburkan bahan bewarna itu untuk membentuk corak yang hendak dipersembahkan. Corak-corak yang dihasil bercirikan budaya India atau Hindu misalnya, burung merak, lilin, bunga teratai dan sebagainya.

Bagi menghasilkan sebuah lukisan kolam yang besar, tentulah banyak bijian beras diguna. Sebagai bahan makanan ruji, terasa seperti satu pembaziran namun itulah amalan budaya turun temurun di kalangan masyarakat berkenaan yang sebaliknya dianggap satu amalan yang baik.

Hiasan kolam daripada bijian beras

Kepercayaan

Masyarakat Hindu percaya tarikan kebaikan dengan amalan memberi rezeki atau makanan kepada makhluk lain. Hatta Serangga halus seperti semut yang merayap sekitar kediaman diberikan makanan, untuk tujuan berkenaan. Ini satu lagi bukti kenyataan bahawa kolam bukan sekadar untuk penyeri ruang.

Di kalangan masyarakat berkenaan, hiasan bukanlah matlamat utama pembentukan Kolam. Pada masa dulu, ia dilukis dengan tepung beras kasar agar semut tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan makanan. Tepung itu menjemput burung dan serangga kecil lain untuk makan.

Pemberian rezeki kepada makhluk tuhan dengan cara itu dipercayai mengundang keharmonian dan kesenangan di samping kerana kunjungan Dewi Kebahagiaan dan Kemakmuran, seperti yang mereka percaya.

Rujukan di laman deepavali.priscilliaseelan.com dan Wikipedia menyebut, Kolam adalah salah satu seni rakyat India. Nama Ranggoli membawa makna ‘barisan warna’ dengan penampilan tona terang dan beraneka, selain beras berwarna, ada juga menggunakan tepung beras, pasir dan kelopak bunga. Ada juga menggunakan serbuk kapur, batu putih dengan campuran warna asli atau sintetik.

Amalan budaya mempamerkan Kolam boleh dilihat di Tamil Nadu, Karnataan, Andhra Pradesh, Kerala dan beberapa tempat di Goa, Maharashtra, Indonesa, Malaysia, Thailand dan beberapa negara lain di Asia. Coraknya meliputi daripada ringkas geometri sehinggalah kepada terperinci, dengan ciri lukisan Hindu.

Terdapat beberapa kepercayaan berkaitan Kolam. Dianggapkan udara mengandungi tenaga negatif dan positif, motif sawang dikatakan perangkap unsur negatif di persekitaran, maka rumah terhalang daripada dimasuki aura tidak baik.

Dalam kepercayaan itu, penyediaan Kolam sebagai visual tanda penghormatan kepada salah satu tuhan mereka, Letchumi yang dijemput ke kediaman supaya penghuni dapat memohon kebaikan.

Walaupun perayaan itu berlangsung lima hari, sesetengah mengekalkan lukisan itu selama 10 hari.

Cerita di sebalik Kolam

Legenda kemunculan Kolam, berkait zaman kuno. Salah satu daripadanya mengisahkan seorang raja berjumpa Tuhannya, Brahma meminta bantuan berikutan kematian seorang anak. Brahma meminta raja itu menggambarkan imej budak berkenaan di dinding agar dapat ditiupkan roh untuk menghidupkannya.

Cerita lain, Dewa mereka mengguna jus mangga untuk melukis figura seorang wanita, lukisan itu muncul sangat cantik sehingga membuat wanita pembantu di syurga iri hati. Apa pun, seni pembentukan Kolam mini dikatakan secara tradisinya adalah kegiatan seni tangan wanita.

Di serata Tamil Nadu, berjuta wanita melukis Kolam dengan beras putih di atas tanah di halaman. Ia rosak apabila dipijak orang lalu lalang atau disimbahi air hujan dan ditiup angin, namun awal pagi esoknya Kolam baru dibina oleh mereka di situ.

Namun di Malaysia yang mana penduduknya saling menghormati amalan budaya pelbagai bangsa, Kolam diterima oleh masyarakat bukan India atau Hindu sebagai salah satu unsur hiasan, tepatnya penyeri suasana sempena perayaan Deepavali sebagaimana penerimaan mereka terhadap gaya penataan hiasan perayaan bangsa lain.

Kolam-Decoration
Persembahan hidangan untuk hiasan sempena perayaan Deepavali, termasuk hiasan kolam.

#hiasandeepvali #kolamhiasan #penyeriruangperayaanIndia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here