Danau Kaco, salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi di Jambi Indonesia. Air di kawasan ini tersangatlah jernih, bersih dan sangat menakjubkan.

Daripada jauh air di kawasan ini berwarna biru dan antara kawasan air yang jernih di Asia ini. Airnya sangat jernih dengan suasana dingin ditutupi kehijauan pohon benar-benar memberikan anda suasana yang sungguh selesa dan memukau.

Berdasarkan informasi daripada masyarakat sekitar, danau ini diceritakan memiliki cerita misteri tentang seorang puteri cantik yang ingin dipinang oleh banyak pemuda.

Lokasi

Danau atau tasik ini terletak di Kabupaten Kerinci, Jambi, tepatnya di Desa Lempur, Kecamatan Gunung Raya. Panorama alam ini termasuk ke dalam kawasan Taman Nasional Kerinci Seblat yang telah diisytihar sebagai tapak warisan UNESCO. Dengan luas sekitar 90 kilometer persegi danau ini wajib untuk menjadi destinasi dikunjungi oleh kaki travel.

Perjalanan

Bukan mudah untuk sampai ke sini kerana ia bukan terletak di tepi jalan besar. Kedudukannya jauh tersembunyi di satu kawasan, hanya boleh sampai melalui menapak dan mendaki. Hanya mereka yang kuat stamina sahaja boleh sampai dan perjalanan perlu ditemani oleh pemandu di situ. Jangan berani-berani untuk pergi dalam kumpulan sendiri kerana anda tidak tahu keadaan jalan dan ada bahaya misteri yang menanti. Silap langkah, boleh hilang di pertengahan jalan sehingga tidak dapat dijejak.

Gambar ini adalah trip pengembaraan sekumpulan pengembara dan pendaki muda dari Malaysia dibantu oleh ‘guider’ dari Jambi Indonesia. Mengambil masa lebih kurang 3 hingga 4 jam melalui denai hutan untuk sampai ke Danau Kaco sebuah mutiara yang tersembunyi di daerah Jambi.

Kunjungan berbaloi

Biarpun masing-masing sudah penat menapak hampir empat jam, namun sebaik sampai hati pantas lega lagi teruja, melihat kawasan unik anugerah alam itu. Airnya biru persis wana air kolam hotel yang terbias dek biru jubin, namun tapak tengah hutan ini manakan ada lapisan jubin, melainkan kesemuanya adalah asli.

Pemandangan asyik

Perjalanan ini pasti memberikan anda kepuasan dan ketenangan tidak terkata. Kalau di Malaysia ada juga kawasan tasik air mini yang berwarna biru di Puchong tapi di Danau Kaco ini, keasyikan dan keindahan alam bumi Indonesia ternyata sungguh menakjubkan, anda harus cuba melawat jika berkelapangan. Suasananya sungguh asyik…

Kedalaman Infiniti?

Anehnya, hingga kini kedalaman Danau Kaco belum diketahui secara pasti. Meski dikunjungi ramai, belum siapa dapat memastikan berapa dalamnya. Namun yang berani dengan air, biasa sahaja terjun untuk merasa kesejukan airnya.

Konon, pernah ada orang yang mencuba mengukur kedalaman danau ini namun selalu gagal, karena tabung oksigen yang diguna habis sebelum menyentuh dasar danau. Ternyatalah walau tidak seluas mana, air tasik sungguh dalam sehingga tidak terukur. Justeru hati-hati bagi yang ingin terjun, pastikan anda pandai mengapungkan diri di permukaan air yang tidak berjejak itu.

Misteri cahaya terang

Anehnya di air terjun ini, akan kelihatan pancaran cahaya pabila hari mulai gelap, lebih
tepatnya ketika bulan purnama tiba, di saat itulah cahaya akan keluar dari danau ini.

Kena bermalam

Bagi yang ingin melihat fenomena pesona alam ini, perlulah berkemah di kawasan Danau Kaco ini sewaktu bulan hampir penuh atau penuh (bulan purnama). Anda pasti kagum melihat air danau mengeluarkan cahaya menerangi sepanjang malam.

Cerita Misteri

Masyarakat tempatan percaya, kemilau Danau Kaco berasal dari bebatuan suci yang tenggelam bersama Sang Putri. Anda boleh google untuk mencari kisah penuh mengenai Sang Puteri yang tenggelam itu.

Hargai anugerah alam

Berada di sini anda akan terfikir betapa kayanya anugerah alam, kawasan wisata bukan ciptaan manusia, sebaliknya tidak lain dan tidak bukan wujud secara semulajadi, sejak sekian lama dulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here