Masjid Sutan Ahmed

Nama popular di peringkat antarabangsa Masjid Biru namun di kalangan masyarakat setempat di Istanbul Turki, dikenali Masjid Sultan Ahmed, antara mercu tanda dan destinasi pelancongan popular di Turki, negara dua benua.

Menurut pemandu pelancong Aziz Ahmed, kalau ditanya kepada penduduk setempat di mana masjid biru, ada kemungkinan mereka tidak tahu kerana masyarakat di situ terbiasa dengan nama rasminya, dalam bahasa Turki, Sultanahmet Camii. Nama Masjid Sultan Ahmed disebut oleh orang luar.

Sultan-Ahmed-Mosque

Dibina antara tahun 1609 dan 1616, gelaran Masjid Sultan Ahmed mengambil sempena pengasasnya, Sultan Ahmed I.

Bersama kami dalam percutian 10 hari, pemandu pelancong anak jati Turki itu membawa peserta singgah di Masjid Sultan Ahmed untuk solat zohor pada hari pertama lawatan.

Latar sejarah dan sentuhan seni bina unik lagi terperinci, menjadi tarikannya. Nama Masjid Biru menjadi sebutan sempena ruang dalamannya didominasi warna itu. Difahamkan cat biru bagaimanapun dihapuskan kerana bukan warna asal, namun biru corak jubin masih kelihatan menghiasi dinding dalaman. Dari luar, permukaan rangkaian dom memperlihatkan warna biru kusam.

Dimaklumkan, ada beberapa lagi digelar Masjid Biru di sana, justeru nama rasmi masjid diguna bagi mengelakkan kekeliruan dengan Masjid Biru lain.

Bumbung bangunan melingkungi laman dalam berhias deretan dom kecil warna biru.

Dibina antara tahun 1609 dan 1616, gelaran Masjid Sultan Ahmed mengambil sempena pengasasnya, Sultan Ahmed I yang tersohor pada zaman Uthmaniyyah. Ia masjid bersejarah di Istanbul, bandaraya terbesar Turki, suatu ketika dahulu ibu negara Empayar Uthmaniyyah (dari 1453 hingga 1923). Istanbul adalah kawasan tertua di Turki. Sebelum tahun 1453, dikenali Konstantinopel iaitu ibu kota kerajaan Bizantin/Bizantium.

Kawasan sekitar Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmed adalah destinasi pelancongan terkemuka kerana berpusatnya binaan yang mewakili tinggalan peradaban zaman lampau, termasuk Hippodrome, Haghia Sophia, dan Istana Topkapi iaitu pusat kediaman diraja zaman Kesultanan Uthmaniyah sehingga 1853.

Kedudukannya tidak jauh dari pantai Bosphorus. Dilihat jauh dari laut, terserlah kubah, dom dan menaranya.

Bertanggungjawab ke atas perancangan reka bentuk binaan Masjid Sultan Ahmed ialah arkitek Sedefkar Mehmet Aga. Pembinaan bermula Ogos 1609, apabila Sultan Ahmed I melakukan upacara pecah tanah.

Bangunan anjung tiga sisi melingkungi halaman dalaman, tempat tumpuan pelawat.

Arkitek diraja, Sedefhkar Mehmet Aga yang bertanggungjawab ke atas perancangan masjid itu adalah anak didik Sinan, arkitek masyhur zaman itu. Reka bentuk masjid menampilkan kehebatan perincian yang dipengaruhi rekaan arkitek idolanya itu.

Dibina atas arahan Sultan Ahmed dengan pembiayaan tanpa had kewangan perbendarahaan. Kebanyakan masjid lain memanfaatkan sumber dari harta rampasan perang. Tujuan pembinaan masjid itu sebagai tempat ibadat pada zaman pemerintahan baginda.

Masjid ini sengaja dibina besar dan gah sebagai lambang kuasa kerajaan Sultan Ahmed I. Bangunannya dipercayai terletak di lokasi istana maharaja Byzantin. Pembinaan bermula Ogos 1609, apabila Sultan Ahmed I melakukan acara memecah tanah untuk membina masjid pertama di zaman empayarnya.

Kehalusan seni hiasan pada permukaan bawah dom dan birai, tonggak keindahan masjid.

Biarpun di pintu masjid tertera tahun 1616, namun upacara pembukaan sebenar berlangsung 1617, manakala tempoh penyempurnaan mengambil masa lama, bersambung sehingga pemerintahan pewaris terakhirnya, Mustafa I.

Reka bentuk Masjid Ahmed melambangkan puncak pembangunan dua abad, menyatukan ciri masjid Uthmaniyyah dan gereja Byzantin, tepatnya menerapkan pengaruh rekaan Haghia Sophia, masjid tersohor zaman itu yang berasal daripada gereja.

Dari segi reka bentuk, struktur dasar bangunannya seakan kubus, berukuran 53 x 51 meter, dengan kedudukan arah solat menghadap Makkah dan mihrab menarik di hadapan. Ruang besar sebelah selatan terdapat bilik kebal.

Bangunannya mengutamakan batu dan marmar. Fasad depan yang terdapat laluan masuk utama, berkedudukan menghadap Hippodrome. Ia menerapkan reka bentuk `quatrefoil` bersimetri dengan halaman dalam dan luar yang luas, sebesar tapak binaan masjid itu.

Ruang solat dalaman menampilkan keindahan seni rekaan dalaman menerusi corak hiasan dinding, tingkap dan kubah.

Dom terbesar terletak di tengah bangunan utama. Dewan solat disempurnakan dengan sistem binaan dom meninggi di tengah ukuran 23.5 meter panjang dari garis pusat dan ketinggian 43 meter, yang disokong empat tiang bersambung oleh binaan bergerbang. Dom besar dilengkapi 260 tingkap yang membawa masuk cahaya semula jadi ke dalam dewan solat. Permukaan dalaman pula dikemasi corak indah dengan selitan ayat bersepuh.

Fasad hadapan dan halaman dalam dibina seakan Masjid Suleymaniye kecuali ada tambahan menara kecil pada sudut kubah atau dom. Binaan utama kubah disokong empat tiang besar, seperti mana masjid lain ilham Sinan. Terdapat lima kubah besar, lapan kubah iringan dan enam menara melengkapi bumbung bangunan utama yang tertutup.

Bangunan tertutup dibina bersambung dengan bangunan anjung yang melingkungi halaman dalam. Bangunan berteduh bentuk petak itu dilengkapi 30 dom iringan yang disokong 26 tiang marmar, sementara di tengah-tengah halaman dalam terdapat binaan air pancur bentuk heksagon. Masjid ini mempunyai tiga pintu, yang terbesar terbuka ke halaman dalam.

Ruang dataran Pelancong beragama Islam dan asing di halaman dalam Masjid Biru.

Ruang dalaman pula dibahagikan kepada dua aras. Menurut satu laporan, lantai rendah dikemasi lebih 21,043 jubin seramik iznik (faience), lukis tangan dengan lebih 50 corak tulip.

Pada masa dulu aras atas didominasi cat biru dengan lebih 200 kaca warna pada tingkap corak berseni, yang membawa masuk cahaya semula jadi ke dalam. Kaca itu dikatakan pemberian Signoria dari Venice namun kebanyakannya telah diganti dengan bahan moden yang tidak berseni.

Lampu candelier pada masa dulu pula dikatakan diselaputi emas dan permata. Kemasan dalaman turut memperlihat seni kaligrafi ayat suci al-quran, kebanyaan hasil karya Seyyid Kasi Gubari, pakar kaligrafi tersohor ketika itu. Asalnya dinding dihiasi ukiran nama-nama kalifah, cetusan ilham abad ke-17.

Unsur terpenting di dalam adalah mihrab di sudut kiri berhias mozek dan jubin kehijauan. Sebahagian struktur bertatahkan kulit tiram, kaedah inlay misalnya pada permukaan daun pintu.

Bangunan dilengkapi enam menara kurus tinggi, dengan beberapa aras balkoni tempat muazzin melaungkan azan tetapi kini seruan azan dilakukan di bawah dengan bantuan pembesar suara. Di pekarangan masjid itu terdapat pusara pengasasnya, Sultan Ahmed, selain madrasah dan hospis.

Sehingga abad ke-19, Masjid Sultan Ahmed menjadi tempat berkumpul mereka yang ingin menunaikan haji ke Mekah.

#masjidsultanahmet #masjidbiru #MasjidBiruTurki #SedefhkarMehmetAga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here