Gubahan hantaran. Tarikh majlis perkahwinan sudah ditetapkan, sebelum persiapan untuk majlis, terlebih dahulu pihak perempuan mahupun lelaki sibuk dengan mencari barang hantaran.
Sama ada untuk diberi sewaktu majlis pertunangan atau perkahwinan, kreativiti gubahan menjadi keutamaan. Masing-masing mahukan idea gubahan hantaran yang cantik menawan.
Serah pada pakar
Gubahan hantaran. Namun bukan semua orang dapat memperlihatkan idea gubahan yang menarik, ada yang difikirkan menarik tetapi apabila dibuat hasilnya tidak berapa cantik. Jadi tip nya adalah serahkan sahaja kerja itu kepada pakar. Anda tidak perlu bersusah payah memikir idea dan menghabiskan masa mencari barang dan menggubahnya.
Mengupah orang tentulah anda mesti sanggup mengeluarkan wang upahnya, kalau rasa-rasa kedekut atau hendak berjimat, tidak dapat tidak kenalah hasilkan sendiri gubahan, samada akan menjadi cantik menawan atau tidak, itu belakang kira kan? Begitulah fikiran mereka yang lebih pentingkan penjimatan!
Bajet tiada, gubah sendiri
Kalau kekeringan idea, lihat sahaja contoh gubahan orang lain sebagai rujukan. Kemudian ubah suai serba sedikit, tentulah hasilnya tidak akan sama seratu peratus dengan yang dirujuk. Bagi mewujudkan kelainan, paling tidak tukar warna atau bentuk bekas.
Di sini VARIASERI paparkan beberapa ilham gubahan hantaran yang dihasilkan oleh Hamidah Hassan untuk majlis perkahwinan anaknya. TIP GUBAHAN.
Berikut beberapa tip untuk gubahan hantaran cantik
1. RONA
Padanan warna atau rona dalam apa aspek penataan, sebaiknya tidak melebihi 3 warna.
2. KEMAS
Penataan dulang hendaklah jangan terlalu sarat dan menggunakan pelbagai jenis bunga, hadkan kepada satu bunga utama dan sikit bunga perimbun, dengan itu ia tidak akan nampak berserabut.
3. SAIZ
Barang hantaran hendaklah disesuaikan dengan bekasnya dari segi ukuran dan saiz. Jika barang terlalu kecil, bekas terlalu besar, kewujudan barang hantaran akan tenggelam. Jika bekas kecil dan barang besar, ia akan nampak tidak sepadan.
4. BERAT
Jika barang berat, elok letak pada dulang tanpa kaki, ini untuk mengelak ia daripada jatuh tergolek dan rosak. Barang sederhana berat, boleh menggunakan pahar atau bekas hantaran berkaki.
5. TIADA IDEA, RUJUK CONTOH
Rujuk contoh contoh gubahan yang pernah dibuat untuk ilham, misalnya yang dilihat di majlis orang, di kedai peralatan perkahwinan, dalam buku, majalah dan di internet. Gambar di bawah boleh dijadikan rujukan.
Sirih pinang, sirih berlapis, mewah macam pantun pula. Lihat betapa halusnya seni hiasan gubahan sirih junjung ini (kiri), yang diserikan dengan bunga ros daripada buah pinang dan kuntuman bunga melur daripada kapur. Di bawah adalah kain batik pasang yang digubah ringkas konsep kipas.
* Petua melipat kain hantaran, jangan keterlaluan lipatan bentuknya, bimbang kain jadi rosak.
Wow helaian duit keping RM100 digubah menjadi bunga mawar mungkin sebagai duit maskahwin atau hantaran. Gambar tengah, tentunya kain telekung berwarna putih, cantik sekali kemasan lace pada hujung bawah telekung, yang dibentuk seperti kipas.
Jam hantaran tampil berseri diisi dalam bekas yang dihiaskan dengan kuntuman bunga mawar putih gebu. Di sebelahnya adalah hantaran kain ela lace sekadar dilipat bertemu tepi, ilham lipatan baju kebaya.
Set penjagaan diri dimasukkan ke dalam kotak dengan gaya susunan yang kemas, lalu diikatkan dengan kain net warna putih. Kemudian kain net diikat kemas dengan dawai lalu dipasangkan tali pintal keemasan dan kuntuman bunga hiasan.
Perhatikan gubahan ini, memang ringkas! Namanya jenis gubahan bungkus net.
Seni atau keindahannya terserlah menerusi kehadiran sekuntum bunga permata yang diperlengkapkan dengan tali pintal dan rantai manik, warna emas.
Bayangkan tanpa hiasan bunga, tali dan manik itu, agak-agak cantik tak?
Sirih junjung kepala hantaran, dibawa paling dahulu dan diiringi dengan yang lain-lain.
- buat sendiri banku, jimat duit http://www.variaseri.com/2020/04/11/diy-bangku-kayu-buat-sendiri-bangku-daripada-bilahan-kayu/
#ilhamgubahan #ilhamgubahanhantaran #gubahanperkahwinan #gubahanpertunangan #sirihjunjung