Bhosphorus cruise
Andai ke Istanbul Turki, tidak sah kalau tidak menyertai kegiatan pelayaran santai, Bosphorus Cruise. Apa yang menarik sangat mengenai pelayaran itu?
Bosphorus cruise. Keindahan panorama alam sekeliling, tentulah jawapannya. Dengan pelbagai unsur tarikan landskap air, selat itu menjadi tumpuan tarikan.
Bersiar di selat Bosphorus mungkin cerita basi bagi yang pernah mengalaminya, namun gambaran perasaan seseorang itu hanya dia yang tahu sewaktu pertama kali melalui pengalaman itu. Tidak mengapa kalau anda sudah pergi, lain orang lain ceritanya.
Sebaik bas yang dinaiki memasuki kawasan pelayaran itu, hati dicuit keterujaan, terutama apabila melihat feri dan bot pesiaran yang lalu lalang. Dari jauh, kelihatan feri dan bot bergerak perlahan membelah selat dengan pelancong di dalamnya.
Sebentar lagi giliran kami pula akan berada di atas salah satu bot pelayaran untuk turut merasai pengalaman bersiar di selat kota bersejarah itu. Ya kami juga akan menyertai Bosphorus Cruise di Istanbul, Turki untuk mengetahui apakah yang menarik sangat mengenai pelayaran itu.
Menaiki bot yang agak besar, cukup luas untuk penumpang seramai 30 orang. Penumpang boleh memilih untuk duduk di ruang berdinding kaca lut sinar di aras bawah atau di lantai dek, tingkat atas yang terbuka.
Peserta memanjat tangga berhati-hati ke dalam bot persiaran Bosphorus Cruise kebanyakannya memilih tempat duduk di dek berbumbung terbuka di sekeliling, mudah untuk mengambil gambar dan melihat alam persekitaran. Ruang dek menyediakan bangku panjang di tepi dan tengah untuk tempat duduk penumpang.
Destinasi itu berlatarkan kebiruan laut Selat Bosphorus dengan landskap kota yang padat, dengan bangunan lama dan bersejarah serta baru.
Daripada jauh, bangunan kelihatan rapat di antara satu sama lain. Pantas menangkap pandangan adalah masjid yang dikenali menerusi bentuk menara runcing di empat penjuru. Kebanyakan masjid di sekitar Istanbul, bereka bentuk seakan dengan dom besar di tengah dan menara kurus tinggi di sudut.
Pelayaran Bosphorus video : https://www.youtube.com/watch?v=E4u6zJfZ6Es
Juga gah tersergam di pesisir Selat Bosphorus, bangunan Universiti Galatasaray, yang ditubuhkan pada 1992, melalui perjanjian bersama oleh pihak Turki dan Perancis. Nama Galatasaray juga tersohor sebagai salah sebuah kelab bolasepak antarabangsa dari negara itu.
Pemandu Pelancong berbangsa Turki, Aziz Ahmed, terus ke tempat pembesar suara di tingkat bawah, memberi penerangan sambil kami sibuk menikmati keindahan panorama sekeliling dan mengambil gambar di tingkat atas.
Turki adalah kota dua benua yang mana selat Bosphorus menjadi garis pemisah antara benua Eropah dan Asia, dan pada masa sama ia menghubungkan kedua-dua benua itu melalui jalan laut. Dengan erti kata lain, menurut Aziz, Selat Bosphorus membahagikan Turki kepada dua daratan iaitu sebelah Eropah dan Asia (Anatolia), dan menghubungkan Laut Marmara di Selatan dengan Laut Hitam di Utara Istanbul.
Tertera dengan garis panjang 30 km, lebar maksimum 3,700 meter pada bahagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadoluhisari dan Rumelihisari, kedalaman selat ini berubah-ubah mengikut tempat, dari 36 hingga 124 meter.
Di tepian selat itu terletaknya bandar, Istanbul, ibu negara Turki yang berpendudukan padat.
Terdapat dua jambatan menyeberangi Selat Bosphorus, iaitu Jambatan Bosphorus sepanjang 1,074 meter yang pembinaannya berakhir pada 1973. Kira-kira 5 km di sebelahnya pula ialah Jambatan Fatih Sultan Mehmet sepanjang 1,090 meter yang disempurnakan pembinaannya pada 1988.
Dalam pesiaran Bosphorus Cruise di Istanbu itu, jambatan merentangi selat berkenaan melengkapkan panorama alam di destinasi rekreasi air itu.
Pada bulan April, musim bunga di Turki namun cuaca sentiasa dingin bagai pada musim sejuk. Berada di atas bot, semestinya wajib berpakaian tebal untuk mengelak tubuh digigit kedinginan.
Bot terus bergerak laju, hembusan angin menyapa wajah, terasa sejuknya, membuat diri menggigil kesejukan jika memakai baju nipis.
#Bosphorus #Istanbul #Turki #cruise #melancongkeTurki #SelatBosphorus