Rumah Bot di Kashmir
Sewaktu dimaklumkan akan menginap di `house boat` atau rumah bot dalam jadual lawatan ke Kashmir, India sudah dapat membayangkan keadaannya, iaitu rumah di atas air.
Namun sedari awal, teruja ingin tahu bagaimanakah rupa rumah bot itu? Sesampai di Kashmir akhir November 2016 terjawablah persoalan. Tempat penginapan dalam bangunan rumah bot di tengah tasik.
Teringat rumah rakit di Malaysia pada masa dulu, bezanya rumah rakit berbentuk rumah kecil dengan buluh sebagai bahan rakit untuk terapung tetapi house boat ialah rumah besar daripada bot yang direka khas sebagai rumah, ada ruang tamu, ruang makan, bilik-bilik tidur dan dapur.
Walaupun berkedudukan di atas air, rumah bot tidak bergoyang seperti rumah rakit. Ini kerana rumah bot memang dibina untuk fungsi didiami sama ada sebagai tempat penginapan, kedai atau kediaman.
Rumah Bot @ House Boat
Dengan kedudukan rumah bot yang statik, memberi kelebihan kepada tetamu, bebas bergerak, berjalan atau berlari tanpa bimbang bergoyang.
Difahamkan binaan rumah bot ini, diilhamkan daripada rumah sampan atau rumah kapal pada zaman dahulu, di mana alat pengangkutan air itu diubah suai sebagai tempat tinggal manusia. Pada masa dahulu, bot dalam perjalanan jauh berlabuh di tepi sungai atau tasik dan penghuninya terus tinggal di dalamnya untuk beberapa lama mengikut keperluan.
Di Kashmir, rumah bot kini menjadi tarikan utama pelancong. Ia bertumpu di kawasan Tasik Dal dan Tasik Nagin serta beberapa lagi tasik. Bangunannya menggunakan kayu terpilih jenis Devdar yang kukuh dan tidak mudah reput.
Kumpulan peserta pakej percutian kami seramai 20 orang ditempatkan di tiga rumah bot dinamakan HB (House Boat) Beauty Star, HB New Beauty Star dan HB Young Beauty Star. Kami berlapan ditempatkan di HB Beauty Star, mengandungi empat bilik. Setiap bilik, untuk dua orang dan yang lain di dua rumah lagi.
Menurut pemilik HB Beauty Star, Khazir Mohammad Raga, 62, rumah bot Beauty Star diurus tiga beradik termasuk beliau. Setiap seorang mengendalikan rumah bot masing-masing.
Difahamkan, ada kira-kira 1,500 rumah bot beroperasi di tasik ini sebagai rumah penginapan. Kesemuanya milik penduduk tempatan. Harga rumah bot dikatakan boleh tahan mahal.
Beberapa catatan pengalaman di laman blog, memberi ulasan tidak selesa dengan keadaan buruk dan kurang terjaga rumah bot di Tasik Dal namun mujurlah rumah bot yang kami huni cantik dan bersih. Daripada luar nampak mewah dengan dinding kayu berukur halus.
Keadaan Rumah Bot
Rumah Bot di Kashmir. Kehalusan ukiran kerawang pada binaan kayu menerbitkan imej gah pada bahagian hadapan bangunan. Ukiran sarat menerbitkan keterujaan di hati kerana ia membiaskan aura sebuah istana lama.
Ukiran sarat pada dinding anjung mengekalkan motif seperti daun dan burung yang dikaitkan dengan kehidupan maharaja Mughal pada zaman dahulu.
Disebabkan rumah bot yang mewah dibina bercampur dengan rumah bot yang usang dan tidak terjaga, maka mencacatkan sedikit keseluruhan pemandangan di Tasik Dal.
Untuk sampai ke rumah bot, tetamu dari jeti dibawa menaiki perahu atau shikara, iaitu sebutan di kalangan penduduk setempat. Shikara berhenti rapat ke pelantar yang dibina bersambung dengan tangga di hadapan rumah bot.
Setiap kali ketibaan kami, sama ada pada hari pertama atau sewaktu pulang dari acara lawatan atau hendak bergerak ke daratan, Khazir selaku pemilik rumah penginapan itu, sentiasa ada mengawasi kami sementara kakitangannya membantu mengangkat barang.
Pengalaman Bermalam
Mula-mula menaiki shikara sedikit cemas, tetapi sesudah beberapa kali berulang-alik dari jeti ke rumah bot sepanjang empat hari tiga malam di situ, lama kelamaan sudah terbiasa.
Khazir berkata, rumah bot yang ditawarkan untuk penginapan di tasik itu sekitar 1,500 tetapi jumlah keseluruhan rumah bot meliputi kedai, rumah penginapan dan hotel, mencecah puluhan ribu.
Bilangan tetamu pelancong pada musim sejuk sangat berkurangan. Menjelang malam, terasa serba tidak selesa. Sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitam. Permaidani yang dipijak terasa lembap dek sejuknya cuaca. Terkejut dengan cuaca sejuk, rakan sebilik batuk sampai ke pagi, kesian dia. Itu pun, mujurlah tilam yang kami tidur ada alat pemanas, ada kawan alat pemanas tilamnya tidak berfungsi. Menggigil kesejukan mereka.
Di sana rumah-rumah masih menggunakan alat pendiang konvensional, berupa bekas silinder logam untuk menyalakan api dengan arang kayu. Diperbuat daripada zink, bekas itu mempunyai penutup, lubang udara di bahagian atas dan saluran asap yang panjang, membawa ke luar daripada rumah. Namun apinya tidak menyala sepanjang malam.
Menurut pengurus HB Beauty Star, Javed Mohammad Raga, alat pendiang sebegitu diguna sejak lama dulu. Ruang tamu dan semua bilik tidur menempatkan alat pendiang seperti itu. Kekurangannya, api yang dipasang tidak bertahan lama, sekadar dua tiga jam sahaja kemudian padam semua dan suasana kembali sejuk.
Mujurlah tilam kami dihangatkan oleh kuasa elektrik, maka tidaklah kami tidur dalam kesejukan. Awas kalau pemanas tilam bilik anda rosak, akan mengigillah kesejukan sepanjang malam seperti yang berlaku kepada sekumpulan kawan kami.
Javed bertanggungjawab memasang api pendiang apabila tetamu berada di dalam rumah, tetapi hanya pada waktu tertentu misalnya sewaktu kami pulang dari program lawatan dan sebelum tidur.
Dia juga mengangkat hidangan makan dan membersih meja makan sepanjang kami menginap di rumah bot berkenaan.
#rumahboat #rumahbottasikdalkashmir #tempatmenginapistimewadikashmir #tasikdal #pengalamanmelancongdikashmier #shikara #keunikanhouseboatkashmir