tuol-sleng-museum
Suasana bilik penjara Tuol Sleng. Penjara bilik, untuk tahanan VIP

Muzium Genosid Tuol Sleng

Masuk sekali saja pun cukuplah. Ngeri melihat gambar-gambar yang dipamerkan. Peralatan dan cara menyiksa tahanan yang ditunjuk kepada pengunjung, memang tidak berperikemanusiaan. Lawatan ke Muzium Genosid Tuol Sleng, di Phnom Penh, Kemboja, memang menghiris hati.

Updated: Jun 10, 2019

Ini bukan Tuol Sleng tapi ialah kawasan tempat tahanan yang didapati bersalah dihukum bunuh. Bangunan ini adalah menara peringatan, yang mempamer sebahagian pakaian dan tengkorak mangsa yang dibunuh.

Tuol Sleng adalah sebuah muzium di Phom Penh, ibu negara Kemboja yang mempamerkan sejarah kekejaman pemimpin pada zaman regim komunis, Khmer Merah Rough. Ia dikenali Genocide Museum atau Muzium Genosid Tuol Sleng.

Genocide atau genosid, ialah satu bentuk jenayah pembasmian kaum yang bertujuan menghapus kewujudan sesuatu suku-kaum manusia. Gelaran itu diberi merujuk kepada tindakan pembasmian suku-kaum tertentu yang terancang dan berorganisasi, dilakukan pemimpin regim komunis, Khmer Merah Rough, di bawah pemerintahan Pol Pot.

Lokasinya adalah bekas sekolah menengah tinggi kerajan yang diguna sebagai Penjara Keselamatan (Security Prison 21) atau Kem Konsentrasi oleh Regim Khmer Rouge dari mula kebangkitan kuasanya pada 1975 sehingga kejatuhannya 1979. 

Di Tuol Sleng, mangsa disoal siasat, didera dan disiksa secara sistematik dengan pelbagai peralatan dan kaedah penyiksaan untuk mendapat pengakuan bersalah. Contoh alat penderaan ditunjukkan dalam bentuk replika dan juga gambar.

Barang dan gambar yang dipamerkan menggambarkan kekejaman tidak terperi, mengimbau kegiatan penganiayaan oleh pemimpin terhadap rakyat sendiri, yang terdiri daripada pelbagai kaum. Turut dipamer senarai gambar mangsa dan kaedah mendera.

Kem Konsentrasi ini di bangun oleh Pol Pot, pemimpin puak Khmer Merah Rough dengan tujuan menyingkirkan individu dan kumpulan yang tidak sefahaman dengannya. Nama Tuol Sleng dalam Bahasa Khmer berarti “Bukit Pohon Beracun”.

Penyertaan dalam satu kegiatan misi kebajikan bersama Yayasan Salam di Kemboja, membawa kami ke kem berkenaan yang kini menjadi antara destinasi pelancong di kota Pnomh Penh.

Selama tiga tahun di bawah pemerintahan kejam Pol Pot, (17 April 1975 – 7 Januari 1979), ramai rakyat Kemboja terkorban dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai atau `genocide`. Kemboja di bawah pemerintahan Pol Pot dikenali Khmer Rough.

Pada zaman pemerintahan Pol Pot, mereka yang disyaki melanggar peraturan pemerintah, ditangkap dan dibawa ke penjara. Di situ mereka disoal siasat dan disiksa dengan pelbagai cara supaya mengaku salah. Individu yang mengaku salah dibawa ke padang luas atau “Killing Field” untuk ditamatkan riwayat dalam siri pembunuhan Genocide.

Dianggarkan 17,000 mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak, dibawa ke padang pembantaian (killing field) untuk ditamatkan riwayat selepas disoal siasat, didera dan dibiarkan kebuluran di penjara.

Muzium Genocide Tuol Sleng (S-21)

Di Tuol Sleng, mangsa dipaksa mengaku salah atas apa jua tuduhan yang dikenakan, kemudian butir-butir pengakuan direkodkan dan gambar diambil untuk dihantar kepada pemerintah sebagai bukti bahawa mereka adalah penderhaka dan seterusnya dibawa ke padang pembunuhan untuk ditamatkan riwayat dalam siri pembunuhan Genocide.

Dilaporkan 17,000 hingga 20,000 mangsa disiksa di penjara sepanjang pemerintahan itu. Selain Tuol Sleng, ada kira-kira 20 lagi penjara seperti itu di seluruh negara.

Kini bekas sekolah dan penjara itu berfungsi sebagai muzium peringatan kepada kezaliman dan kegilaan regim Khmer Rough. Selepas kejatuhan regim itu pada 1979, tidak banyak harta negara ditinggalkan.

Muzium Genosid Tuol Sleng

Ini ialah sebahagian daripada bangunan sekolah Tuol Sleng yang dijadikan penjara. Bangunan empat tingkat ini kini dikenali Muzium Genocide. Ketika pemerintahan Pol Pot, seluruh sekolah ini menjadi penjara, menempatkan tahanan yang dipercayai melanggar peraturan pemerintah.

Perhatikan di kawasan tengah antara dua bangunan di kawasan bekas penjara itu, terdapat kubur tempat bersemadinya beberapa tahanan yang dijumpai mati pada saat kejatuhan pemerintahan regim Khmer, Rouge.

Binaan kayu seperti tiang gol itu sebenarnya adalah alat untuk menyiksa tahanan. Mangsa digantung pada leher dan ditarik dengan tali ke atas dan kemudian diturunkan semula, dan dilakukan berulang kali.

Mangsa juga direndamkan kepalanya ke dalam tempayan berisi air sampai lemas. Penderaan begitu terus dilakukan sehingga mangsa tidak tahan dan mengaku salah. Sungguh kejam.

Bukan itu sahaja banyak lagi cara penderaan yang dilakukan termasuk menggunakan sengatan binatang berbisa. Aduhh, tak dapat nak dibayangkan betapa kejamnya.

Ini bilik yang mempamerkan senarai gambar wajah mangsa yang dibunuh

Penjara @ Muzium Tuol Sleng menyimpan rekod terperinci kejadian, terutama beribu-ribu gambar wajah mangsa dera, kini dipamer kepada umum di salah satu bilik penjara.

Benar-benar sedih melihat wajah-wajah muram mangsa. Setiap seorang yang dihukum, dirakamkan gambar untuk ditunjukkan kepada pemerintah sebagai bukti mereka telah menerima hukuman. Bilik ini terletak di aras bawah salah satu bangunan sekolah@ muzium Tuol Sleng.

Tiang gol dan tempayan ini salah satu tempat penyiksaan mangsa. Mereka diikat dan ditarik ke bawah dan ke atas palang tiang, kemudian direndamkan dalam tempayan, supaya mereka mengaku bersalah.

Di atas ini pula adalah salah sebuah bilik tahanan untuk orang kenamaan, disediakan sebuah katil besi dan ruang luas dan tersendiri, berbeza dengan rakyat biasa yang diletakkan di dalam bilik semuat badan, cukup untuk duduk dan bangun. Bilik ini terletak di tingkat atas bangunan Tuol Sleng.

Pada dinding bilik ini terdapat gambar mangsa ketika dibunuh, keadaannya sungguh ngeri dan menyedihkan.

Selain menyaksikan keadaan penjara, bilik tahanan, peralatan penyiksaan dan rantai besi, pengunjung dapat melihat pelbagai gaya penyiksaan yang dilukis oleh Vann Nath, salah seorang daripada mereka yang terselamat dari penjara itu.

Mereka Yang Terselamat di Tuol Sleng

Bermatlamat melahirkan rakyat taat dan bertaraf sama rata, Pol Pot berusaha menghapuskan semua orang yang ada hubungan dengan dunia luar, ahli perniagaan, golongan akademik, profesional, hatta ketua agama. Bahkan mereka yang mengamalkan perintah agama juga ditangkap dan dibunuh.

Selain itu sekolah dan gedung perniagaan dibakar, penghapusan etnik dilakukan dan semua rakyat dipaksa bekerja di ladang, dalam usaha melahirkan negara pertanian. Namun pada 1979, pemerintahan regim itu tewas.

Enam individu itu adalah mereka yang dijumpai terselamat di Penjara Tuol Sleng sewaktu kejatuhan pemerintahan Pol Pot. Sedang tahanan lain kebanyakannya mati, namun mereka dijumpai masih hidup.

Benarlah kata pepatah, berpantang maut sebelum ajal.

#PenjaraToulSlengKemboja #GenocidediKemboja #SejarahPenghapusanEtnikdiKemboja #polpot #regimkhmerrough

Muzium Tuol Sleng beralamat di, St 113, Phnom Penh 12304, Cambodia, muzium ini dibuka dari pagi dan tutup 5 petang.

Lagi cerita destinasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here