Kesan Penderaan Seks.

Salah satu kesan terhadap mangsa penderaan seks dan sumbang mahram, ialah Sindrom Cinderella. Namun apa yang dialami mangsa tidaklah seindah Cinderella dalam cerita dongeng terkenal itu.

Watak Cinderella hanya tiada pilihan berbaju cantik kerana didera ibu dan saudara tirinya tapi mangsa Sindrom Cinderella memilih berpakaian buruk, tidak menjaga kesihatan dan rupa diri. Bahkan berkeadaan daif kerana tidak nampak jalan keluar daripada masalah. Dibelenggu perasaan rendah diri yang menebal, memandang diri mereka sendiri jijik dan tidak berharga.

Sindrom Cinderella ini menjelaskan pengalaman mangsa yang terperangkap dalam trauma, keluarga pula diam dan tidak mempercayai dakwaan mangsa mengalami deraan seksual. Ini menyebabkan mereka tertus tertekan.

Admin kali ini memilih satu tajuk seakan taboo untuk diperkatakan demi menjaga aib pihak-pihak terbabit, walhal ia berlaku di kalangan masyarakat sejak daripada dulu sampailah ke hari ini.

Mengulas kesan yang dimaksudkan berkaitan tajuk di atas, Suraiya Mohd Nor menulis bersumberkan temu bual dengan seorang pakar psikiatri remaja dan kanak-kanak.

Tersiar pada tahun 2000 lagi, artikelnya menunjukkan penderaan seksual dan sumbang mahram bukanlah masalah baru dalam masyarakat.

Bersumberkan temu bual dengan, Pakar Psikiatri Remaja dan Kanak-Kanak, Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ketika itu, Dr Zasmani Shafie, tulisnya, kesan penderaan seksual terbahagi kepada dua kesan iaitu fizikal dan mental. Kesan fizikal bergantung pola deraan, usia dan tahap perkembangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengesan, seseorang anak atau remaja, menjadi mangsa penderaan seksual? Menurut Dr Zasmani, kecederaan vagina menjadi bukti seperti dinding vagina terkoyak, dubur tercedera dan luka bernanah. Mungkin ada pendarahan, radang, jangkitan, keputihan, atau tanda penyakit kelamin di dalam mulut, vagina, dubur, juga kehamilan pada remaja. Semua ini dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal.

Apa yang hendak diulas lanjut di sini adalah Kesan Penderaan Seks daripada segi emosi dan perubahan watak mangsa.

KESAN TAMPAK SELEPAS DIDERA

Menurut pakar itu, kesan psikologi ke atas mangsa pelbagai ragam, disebut post traumatic stress disorder. Kesannya mungkin ketara selepas kejadian atau setelah lama berlaku.

Mangsa boleh mengalami;

  • ulang kenang (flash back) atau mengingat kembali kejadian secara spontan atau apabila orang lain bercerita kes serupa. Kekerapan ulang kenang berkurangan mengikut peningkatan usia atau mungkin semakin kerap, bergantung jati diri seseorang.
  • mungkin juga suka mengasingkan diri (withdrawal), dalam bentuk pembatuan psikik, kurang bertindak balas, menjauhkan diri, kerenggangan serta membatu memerhati  (frozen watchfulness).
  • Kerunsingan berterusan ketara pada sikap mereka yang tersangat cergas, kuat berjaga malam, jika tidur pun, mengigau didera atau dihukum.
  • Tidak dapat menjalin hubungan berkesan kerana mereka berasa diri kotor dan tidak berguna sehingga membuatkan mereka menarik diri dan menyepi.
  • Jika dapat menjalin hubungan dengan seseorang lain, ia tidak akan berpanjangan kerana ada konflik seksual. Mangsa akan anggap lelaki penjahat yang hanya cuba mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

KANAK-KANA TIADA UPAYA TENANGKAN DIRI

Kanak-kanak tidak seperti dewasa berupaya mencari ketenangan dan kelegaan fikiran dengan tidur atau bersendrian apabila dilanda krisis. Ini kerana kanak-kanak tiada sifat penenang diri, tidak berupaya menyelesaikan masalah kerana kurang kematangan dan sukar membendung keresahan (anxiety). Justeru, mereka boleh menjadi terlalu berjaga, suka mengganggu orang, tidak tidur malam, bermimpi ngeri atau mungkin menghadapi masalah pembelajaran atau disiplin di sekolah.

Kanak-kanak mangsa penderaan seksual sumbang mahram pula berada dalam dilemma, tersepit antara rasa bersalah dan kesetiaan (kasih sayang kepada ayah). Terkadang ada perasaan tidak menganggap ayah bersalah, walaupun ada pihak luar menyuruhnya lari daripada terus menjadi mangsa bapa sendiri.

KESAN LEBIH TERUK DARI SEGI TINDAK TANDUK

Dalam serba kekeliruan, kanak-kanak yang belum tahu erti perlakuan betul atau salah, timbul rasa seronok apabila dirangsang. Dibimbangi cenderung terbabit pula dengan kawan lelaki atau lelaki lain yang tidak dikenali, melakukan perbuatan sama. Ini adalah situasi yang lebih berbahaya akibat daripada salah laku si bapa, yang telah mengajar perbuatan terlarang.

KESAN LUMRAH

Dalam banyak kes bila mana kanak-kanak menyedari hakikat perbuatan yang diperlakukan ke atasnya adalah salah, reaksi mereka adalah memendam perasaan marah. Kepada siapa mereka tujukan kemarahan itu?

  • Marah kepada diri sendiri
  • Marah kepada ibu bapa dan orang terbabit mendera
  • Kemarahan yang tidak tersalur dan dibendung menjejaskan hubungannya dengan orang lain ketika dewasa.
  • Dia mungkin menyimpan dendam, berasa berhak memusnahkan kehidupan orang lain.
  • Jika bersuami, hubungan mereka tidak berpanjangan kerana rendah diri dan dihantui peristiwa silam, membuatnya memandang serong, menganggap semua orang berniat buruk kepadanya.
  • Lebih gemar memencilkan diri.
  • Dalam sesetengah kes, berlaku kemurungan, tidak mengira usia.
  • Resah berterusan dan cuba diatasi dengan makan dan makan.
  • Kajian menunjukkan 20 peratus pengidap anoreksia nervosa dan bulimia, pernah mengalami gangguan deraan seksual.

PADAM INGATAN PAHIT

Kesan seterusnya adalah Sindrom Ingatan Palsu, ia melindungi mangsa daripada trauma, terutama apabila mangsa terlalu muda. Benteng psikologikal ini ada pada semua orang. Ingatan boleh datang kembali apabila perkara atau peristiwa seakan sama berlaku. Namun langkah terbaik untuk mengendali diri, adalah dengan melupakan kejadian silam, supaya ia tidak terus membelenggu benak. Dengan itu mereka, boleh menjalani kehidupan secara normal. Ini penting untuk mereka menghadapi hari mendatang dengan fikiran positif.

Apa pun, kesan deraan seksual bergnatung pada usia anak dan daya tahan seseorang menghadapi trauma.  Ada juga yang bertindak balas psikosomatik, seperti kencing malam, menghisap jari, bercakap dengan anak patung, enggan ke sekolah, sakit tidak menentu, hysteria, pengsan dan lemah.

KESAN NEGATIF, BERIKUTAN HILANG HARGA DIRI

Deraan seksual dalam kalangan REMAJA bermakna mereka hilang harga diri, menyebabkan ada yang bertindak di luar daripada yang sepatutnya, seperti;

  • lari dari rumah
  • bersikap liar
  • mengasingkan diri
  • menjadikan seks santapan harian yang membawa kepada masalah lain, iaitu kehamilan di luar nikah, penyakit kelamin dan pelacuran.

KESAN DERAAN SEKS KE ATAS MANGSA DEWASA

Bagi mangsa dewasa, kesannya agak lambat kerana mereka mungkin bertindak menidakkan keadaan atau sengaja mengelak daripada mengingat. Namun jika gagal melupakan kejadian, boleh menimbulkan kemarahan meluap kepada si pelaku atau bertindak membunuh diri. Ada juga mangsa lebih senang bersama kaum sejenis kerana sudah tidak percaya atau kurang selesa bersama lelaki.

Baca juga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here