how-to-be-better
Tanamkan azam, teruskan berusaha. Kredit foto - Bidasari.my

Atasi Rendah Diri

Seseorang bayi dilahirkan dalam keadaan sama iaitu ibarat kain putih, yang bersih lagi suci. Dia tidak mengetahui apa pun mengenai dirinya. Sewaktu kecil, dia membesar tanpa tahu membenci diri sendiri mahupun orang lain, dan pada tahap tu dia mempunyai nilai harga diri terpuji.

Namun keadaan itu hanya sementara, kian membesar, sedikit demi sedikit anak itu akan disogok dengan pelbagai maklumat mengenai dirinya, ibu bapa dan persekitaran. Ini kemudian membawa kepada pembetukan imej dirinya yang tersendiri.

Seseorang anak yang membesar, banyak dipengaruhi oleh ibu dan bapanya serta ahli keluarga lain@adik beradik. Beruntung andai dia mempunyai ibu bapa yang berharga diri terpuji. Ibubapa begini berupaya membentuk sifat positif pada anaknya, agar tahu untuk menyayangi dan menghargai diri sendiri, melalui penerapan sifat-sifat positif di dalam dirinya, berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Namun sedikit sekali anak yang bertuah, hidup dalam persekitaran ibu bapa sentiasa memberi didikan terpuji sehingga melahirkan individu bijaksana dan matang, lagi berpendirian, berdedikasi dan bertanggungjawab. Rata-rata, anak membesar bersama pengasuh, yang kebanyakannya tidak berilmu, jauh sekali berpendidikan dan berperibadi tinggi. Dengan pantauan orang sebegitu, tidak hairanlah si anak menjadi orang yang kurang harga diri, jauh sekali untuk diteladani. Sampai satu tahap apabila anak itu sudah tersedar bahawa dia membesar dengan segala kekurangan di dalam dirinya, tidak mustahil akan menuding kesalahan kepada orang tuanya.

Dalam kes ini, mahu dipersalahkan kepada pengasuh tidak boleh juga kerana barangkali mereka pun melalui proses kehidupan yang sama, dibesarkan dengan pendedahan idea kurang berpotensi.

Namun bagi pihak si anak, selagi belum terlewat, masalah ini masih boleh diatasi pada saat mulai menyedari. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan tahap potensi anak. Andai disertai dengan kesedaran anak untuk memperbaiki dan memajukan diri, maka peluang untuk ke arah yang lebih baik akan jadi lebih cerah.

motivation-talk
Kredit foto – Facebook

Menagih Kasih

Sebilangan kanak-kanak kurang menerima kasih sayang secara semula jadi. Ibu bapa hanya memberi kasih sayang jika si anak menuruti kehendak mereka atau mematuhi syarat tertentu, umpamanya jika mendapat kelulusan memuaskan, mendengar kata, tidak menimbulkan masalah, rajin dan bijak.

Andai gagal menepati target itu, ibu bapa berasa kecewa lantas cuai memberi kasih sayang sewajarnya, sebaliknya memberi pelbagai tekanan kepada si anak, sehingga mereka memberontak dan terbentuklah peribadi negatif.

Ada juga ibu bapa suka membandingkan anaknya dengan anak orang lain yang lebih hebat, selalu mempersoal mengapa anaknya nakal, tidak sehebat anak orang itu dan orang ini, tidak berbakat dan kurang bijak.

Hakikatnya, dalam apa pun keadaan, sewajarnya ibu memberi semangat dan dorongan kepada si anak, tidak menekan perasaannya disebabkan sebarang kelemahan. Tidak berterus membuat perbandingan negatif, yang boleh menyebabkan anak tertekan dan murung.

Elak menyimpan harapan yang tidak nyata atau mustahil digapai. Misalnya terlalu mengharap anak mencapai sesuatu di luar kemampuannya, sedangkan sebagai orang tua tentunya lebih tahu setakat mana keupayaan anak masing-masing. Andai terus menyimpan harapan tidak nyata, bukan sahaja anda sebagai orang tua akan kecewa, malahan turut mendera jiwa anak. Sedikit sebanyak, anak akan berasa sedih dan hampa, andai dia gagal memenuhi harapan orang tuanya.

Bagi pihak anak pula, jangan terbelenggu dengan perasaan negatif, mengakui kelemahan dan sering mengata diri sendiri, misalnya, “Ya saya tidak dapat melakukannya, saya kurang menarik, saya kurang bagus dan kurang bijak.” Pengulangan ungkapan negatif ini menyebabkan anda terasa rendah diri berterusan, tidak berharga dan kurang berkeyakinan.

Tukar kepada ungkapan, saya boleh dan saya mahu berusaha menjadi lebih baik, saya juga mahu menjadi bagus, biarpun tidak bagus dalam bidang seperti si polan idola itu, tetapi mungkin lebih bagus dalam aspek lain, yang mana tidak ada pada si polan berkenaan. Sematkan kata-kata itu di hati, malah boleh dilafazkan dari hari ke hari, tahun ke tahun.

Luahan hasrat dan impian itu adalah satu doa. Doa yang diulang-ulang, cenderung makbul sekali gus boleh mengubah keadaan. Ingat, tidak siapa boleh mengubah diri anda, melainkan anda sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Sentiasa tanam keazaman untuk atasi rendah diri.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here