Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All.

Part 1

Masa berlalu pantas, sibuk dengan pelbagai tugasan terkadang tidak sempat mengikuti perkembangan destinasi pelancongan di ibu kota. Kalau tidak kerana mengikuti program jelajah seperti yang nak diceritakan ini, banyaklah ketinggalan dari segi tempat tempat menarik untuk dikunjungi.

Minggu lalu, Varia Seri sekali lagi berpeluang menyertai program jelajah Kuala Lumpur bersama Gaya Travel.  Program KL FAM trip anjuran Biro Tourism Kuala Lumpur kali ini bertemakan Kuala Lumpur Untuk semua atau Kuala Lumpur For All @ #KL4All.

                                       Pakaian seragam komunis

 

Berlangsung 24 hingga 26 Oktober lalu, seperti biasa trip Bermula di Matic, Jalan Ampang. Disebabkan lawatan hanya di sekitar Kuala Lumpur, program jelajah dimulakan selepas jam 9 pagi.

Selepas sarapan pagi di Restoran Anajah yang terletak di dalam kawasan Matic, peserta menaiki bas untuk memulakan perjalanan Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All.

                              Pakaian seragam Pasukan Pancaragam PDRM

 

Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Lawatan pertama adalah Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terletak di Jalan Perdana, Tasik Perdana Kuala Lumpur.

Diilhamkan oleh Penguasa Sekolah Pusat Latihan Polis, iaitu PGB Waller pada 1950, Muzium PDRM dirasmikan pembukaannya pada 9 Januari 1961 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3.

Muzium ini mempamerkan beribu-ribu barang berkait dengan kegiatan jenayah dan kawalan jenayah.

Kami dibawa masuk ke galeri pameran yang dibahagikan mengikut tiga era dan diberi penerangan oleh pegawai yang bertugas. Muzium Polis PDRM menyediakan 3 galeri pameran iaitu galeri A, B dan C.

                           Pakaian seragam Lelaki PDRM 1970-an

Galeri bahagian pertama ditunjukkan himpunan pelbagai bahan berkaitan dengan kerja polis, dari zaman kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke hari ini. Mula-mula kami melewati ruang pameran pakaian seragam anggota PDRM, yang digunakan pada masa dahulu sehinggalah sekarang.

Antara menarik, ialah bahagian koleksi senjata yang pernah diguna oleh PDRM dan juga yang telah dirampas. Tidak seperti bahan pameran lain, alatan senjata itu dipamer dalam bilik khas berpintu jeriji besi. Pelawat tidak dibenar mengambil gambar di bahagian ini.

Selain itu ada juga koleksi anugerah milik anggota polis, pelbagai pingat seperti Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Pingat Gagah Berani, Service Medal dan King’s Police Medal.

Dipaparkan juga sejarah perjuangan dan pengorbanan anggota polis serta kerjasama masyarakat tempatan dalam Era Darurat dan Tragedi Bukit Kepong.

Terdapat juga pameran di sekitar luar bangunan muzium, meliputi Kereta Perisai (GMC), Ferret Scout Car, Sankey, Kapal terbang CESSNA, meriam-meriam dan bot marin PA4, selain kenderaan yang diguna oleh tokoh-tokoh PDRM.

Sementara Dataran Perwira mempamerkan nama-nama anggota PDRM yang telah terkorban sewaktu menjalankan tugas.

Pada tengah hari itu, kami kembali ke Matic untuk sarapan tengah hari, diikuti menghadiri majlis pelancaran Matic Fest dan pertunjukan tarian kebudayaan sempena majlis berkenaan.

Kredit gambar: Hauntu Malaysia Linc

Hauntu Malaysia @ Linc.

Selesai di Matic Fest, bergerak pula ke The Linc Kuala Lumpur untuk menyertai kegiatan permainan di Hauntu Malaysia @ Linc.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, maksimum 10 orang untuk masuk meneroka kegiatan permainan yang ditawarkan.

Rekaan permainan berkisahkan sebuah hotel yang menjadi persinggahan pengunjung, bukan hotel biasa sebaliknya hotel yang direka menghantui tetamu. Setiap tetamu yang masuk menginap, akan diganggu dengan bunyi yang seram dan kegiatan yang menakutkan.

Ia berkonsepkan permainan teater, kerana setiap gangguan adalah lakonan daripada watak-watak penganggu yang mewujudkan suasana misteri melalui bunyi, mainan cahaya dan aksi yang menyeramkan. Antaranya, tidak boleh lupa aksi kerasukan dan bomoh yang mencuakkan.

Kaunter resepsi hotel Hauntu `photo booth` – Kredit gambar Hauntu Malaysia Linc

Jika anda bukan seorang penakut dan tidak sakit jantung, bolehlah melalui cabaran permainan itu. Masuk ke bilik hotel, diganggu, lari dan sesat di lorong-lorong sempit dan ruang-ruang berpintu dengan halangan-halangan dalam proses untuk mencari jalan keluar.

Permainan yang mengambil masal lebih sejam itu juga mempunyai pengkisahannya, iaitu kononnya salah seorang daripada kami masuk untuk mencari saudara kandungnya yang hilang sewaktu bekerja di hotel itu.

Gerbang berjembatan ke lorong Kwai Chai Hong,

Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All.

Kwai Chai Hong  –

Hari kedua, kami dibawa mengunjungi destinasi tarikan Kwai Chai Hong di Petaling Street Kuala Lumpur. Rupa-rupanya di situ telah diwujudkan lorong ingatan@ memory lane, yang membawa pengunjung ke zaman kegemilangan Chinatown pada masa silam. Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All telah membawa kami ke lorong yang dimaksudkan.

Dibuka pada April 2019, Kwai Chai Hong dibangunkan sebagai tempat tarikan di ibu kota dengan kos projek bina semula kawasan itu melebih 1.5 juta. Kwai Chai Hong di Petaling Street, merangkumi 6 bangunan di Jalan Petaling dan 4 bangunan di Jalan Panggong.

Masuk ke lorong berkenaan, jari anda tidak akan berhenti merakam suasana kerana terdapat banyak mural yang menarik di situ. Dikenali sebagai lorong kenangan silam, mural-mural itu tertera pada dinding bangunan berusia lebih 100 tahun itu.

Dalam proses menjadikan lorong itu sebagai destinasi pelancongan, keadaan asal deretan bangunan itu dikekalkan. Dalam pada mengekalkan penampilan lusuh sebagai bangunan lama, pengusahanya memberi tarikan menerusi paparan mural dan selitan warna.

Tujuannya agar motif mural itu sendiri bercerita mengenai keadaan kehidupan di kawasan berkenaan pada zaman silam. Difahamkan peringkat terawal dibina lebih seabad lalu, bangunannya daripada kayu berfungsi sebagai kediaman yang kemudiannya dijadikan kedai, dan diubahsuai kepada bangunan konkrit bertingkat.

Bersama penulis kaligrafi di mural dinding bangunan.

Sentuhan warna biru dan kuning menyerlah sengaja dipaparkan pada dinding bangunan untuk gambaran memukau. Di sebalik adanya bantahan terhadap usaha membaiki imej itu, ternyata selitan warna berjaya mengimbangi kesuraman suasana seluruh kawasan. Andai dikekalkan gaya sangat lusuh dan buruk, takkan ada siapa yang mahu datang, kata pemiliknya.

Menariknya, jika mahu tahu info mengenai tempat itu, pengunjung boleh menggunakan QR Codes di setiap bangunan.

Melalui Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All, kami berpeluang meneroka destinasi tersembunyi di lorong belakang Petaling Street.

Tempat ini dibuka darii jam 9 pagi hingga 6 petang.

Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All.

Mural pemandangan sidai kain di bangunan berkenan pada masa dahulu.

Demikian tiga daripada tempat-tempat yang kami kunjungi dalam jelajah 3 hari 2 malam di Kuala Lumpur dalam program Jelajah Kuala Lumpur Untuk Semua @ Kuala Lumpur 4 All.

Bersambung di Part 2.

Kisah di youtube https://www.youtube.com/watch?v=lAZ8ANg7eA8&t=13s

 

#KualaLumpur4All

#GayaTravel

#VisitKL

#AboutKL

#VisitMalaysia2020

#VM2020

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here