
Tip Untuk Berjaya dalam Bisnes, Dari cerita Pengalaman Ayah.( Bab kedua – SAMBUNGAN KISAH AYAH DAN TAUKE SENG LEE)
Bab pertama kisah ayah, rujuk link di bawah.
http://www.variaseri.com/2019/09/20/mahalnya-nilai-sebuah-kejujuran-mengapa-kita-perlu-jujur/
Gambar hiasan: The Malaysian Times
Bab kedua kisah ayah dan tauke Seng Lee
Hari ini bosan sungguh. Nak upload video kat you tube, asyik gagal. Teringat kisah ayah yang saya tulis pagi tadi. Janji nak sambung, sementara ingat, baiklah tulis. Kisah ayah dengan Tauke Seng Lee.
Pada mulanya ayah berniaga di kampung, tidak jauh dari bandar Jerantut. Ketika itu, saya masih di sekolah rendah. Ingat lagi, sempat juga saya menjual sepit rambut di sekolah. Ambil daripada kedai ayah, bawa ke sekolah jual kepada kawan-kawan, 10 sen satu. Laris pula tu.
Perniagaan ayah berjalan lancar dengan sokongan Tauke Seng Lee. Daripada bersekolah rendah, sampailah saya bersekolah menengah. Ayah masih berniaga. Ketika itu hanya ada satu kedai di kampung. Bukan saja penduduk kampung di situ, bahkan penduduk kampung seberang turut menjadi pelanggan di kedai runcit dan kedai getah ayah di kampung. Ketika itu, ayah juga menjadi pemborong beras.
Dengan adanya lori kecil yang dibeli atas dorongan Tauke Seng Lee, memudahkan urusan perniagaan ayah.
Sewaktu di tingkatan tiga, pelanggan mulai berkurangan. Pembukaan Tanah Rancangan Felda sekitar tahun 1970-an memberi kesan kepada perniagaan ayah di kampung. Ramai penduduk menyertai Tanah Rancangan, memaksa ayah mencari tempat baru. Ayah berjaya mendapat tempat di Bandar Jengka. Masalah pekerja memaksa ayah mengambil keputusan menutup kedai di kampung untuk memberi tumpuan kepada kedai baru diJengka.
Beberapa tahun beroperasi di situ, perniagaan terus maju. Lokasi, tidak jauh daripada kilang kayu Kanada. Selain peneroka Felda, pekerja kilang adalah pelanggan utama ayah.
Namun langit tidak selalu cerah. Panas hampir tidak sampai ke petang. Sewaktu perniagaan ayah sampai di kemuncak pada akhir 70-an, sesuatu tidak disangka berlaku. Tindakan ayah membenarkan pelanggan berhutang, menimbulkan masalah besar. Tidak semena-mena, kilang kayu ditutup. Ramai penduduk hilang pekerjaan. Serentak itu juga mereka menghilang, lesap entah ke mana, dengan masing-masing meninggalkan hutang di kedai ayah. Pabila dijumlahkan besar juga nilainya.
Ayah hampir terduduk. Ayah sedar akan kesilapannya, memberi hutang berleluasa kepada pelanggan. Kesilapan tidak boleh ditebus lagi, fikir ayah. Akhirnya ayah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan. Lalu ayah memaklumkan niatnya kepada Tauke Seng Lee. Apakah reaksinya? Tauke itu memahami masalah ayah. Nasihatnya, “awak jangan tutup kedai. Awak tak boleh buat begitu, kalau tutup bermakna awak rugi begitu sahaja.”
Ayah jawab, bagaimana dia nak teruskan perniagaan. Dia sudah rugi banyak. Dah tak boleh buat apa lagi.
Apa komen Tauke itu seterusnya?
“Beginilah, awak teruskan perniagaan seperti biasa, saya akan hantar apa sahaja barang yang awak nak. Yang rugi biarlah rugi, tetapi awak mesti berusaha untuk pulihkan semula perniagaan awak.”
Biarpun serba salah dan malu, akhirnya ayah akur juga pada kata-kata nasihat Tauke itu.
“Saya tolong awak, awak jangan fikir pasal bagaimana nak bayar. Saya tak akan minta. Awak teruskan meniaga, kalau ada wang baru awak bayar. Tidak kiralah berapa lama pun.” Tauke Seng Lee memberi jaminan.
Dengan nasihat dan jaminan tanpa syarat itu, menyuntik kembali semangat ayah. Tauke bangsa asing itulah menjadi penyelamat kepada perniagaan ayah. Memang benar, tidak lama kemudian ayah berjaya membaiki keadaan. Selepas kejadian itu, pelanggan tidak lagi dibenarkan berhutang. (Ini pengajaran untuk semua yang ingin berniaga, jangan benarkan pelanggan berhutang).
Satu lagi kisah menarik mengenai baik dan lurusnya hati Tauke Seng Lee sebagai seorang rakan. Kata ayah lagi, dia tidak lupa, sewaktu Tauke itu membawa ayah berjalan-jalan ke Melaka. Dalam perjalanan, kedengaran bunyi azan menandakan masuk waktu solat, lantas Tauke Seng Lee, berkata, sudah masuk waktu sembahyang, awak pergilah.
Lantas ayah memberitahunya, tak mengapa… dalam perjalanan ada kelonggaran bagi umat Islam untuk mengerjakan solat, secara himpun (jamak). Satu maklumat baru baginya. Begitulah sifat Tauke Seng Lee. Sangat memahami dan ikhlas sebagai seorang kawan.
Adakah lagi orang seperti Tauke Seng Lee pada zaman ini. Adakah lagi, dua bangsa yang berbeza menjadi rakan karib seperti ayah dengan Tauke Seng Lee? Dengan pergolakan semangat perkauman sekarang, saya yakin mesti ada lagi insan berlainan bangsa yang masih memegang erat silatulrahim di antara satu sama lain.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-62.
Peace no war!!! ✌️✌️✌️
Pengajaran yang kita boleh perolehi daripada kisah ayah dan tauke Seng Lee, berkait untuk berjaya dalam perniagaan@bisnes.
- Jaga hubungan baik dengan pembekal.
- Kekalkan sifat jujur.
- Hormati agama dan pegangan masing-masing.
- Tunjukkan peribadi yang baik antara satu sama lain.
- Jangan sesekali beri hutang kepada pelanggan.
- Jika jatuh rugi, jangan lekas putus asa dan terus menutup perniagaan.
- Bertabah dalam menerima kerugian dan ambil masa untuk membaiki kesilapan.
- Ikuti nasihat orang yang berpengalaman.
- Jaga hati pelanggan tidak bererti perlu benarkan mereka berhutang.
- Jaga pembayaran hutang dengan pembekal atau tauke yang meletakkan barangan.