

LELAKI KOTOR KUSUT MASAI ITU SIAPAKAH DIA?
Rambutnya panjang melepasi bahu, kusut masai dan bermisai, pakaian lusuh macam berbulan tak mandi. Lagak gelandangan. Dia sedang berbual dengan penuh konfiden. Terdengar di hujung telinga dia menyebut lokasi di luar negara. Entah apalah agaknya topik yang sedang dikisahkan olehnya.
Gambar hiasan
Kami sedang di pekarangan sebuah pejabat kerajaan untuk satu urusan. Di hadapan lelaki serabut itu ada beberapa pegawai berpakaian kemas. Mereka sedang ‘melongo’ penuh khusyuk mendengar perbualan lelaki kotor itu. Dia seolahnya sedang membicarakan hal penting. Lagak orang bijak, penuh bermaklumat. Selesai berbual, dia berdiri di tempat sama, mundar-mandir.
Siapalah agaknya dia? Kami duk perati je dari jauh. Kami sampai waktu rehat, kaunter perkhidmatan pun sudah tutup. Terpaksa keluar dan datang semula untuk selesaikan urusan.
Jam 2.30 petang, kami kembali ke pejabat, lelaki misteri itu sudah tiada. Seusai menemani kawan menyelesaikan urusan di kaunter, kami terus pulang. Bayangan lelaki tadi, terbayang di ingatan.
Sampai di satu simpang, sedang kami berbual dalam kereta, ternampak seseorang lelaki pemungut sampah di tepi jalan. Dia sedang mengelek ranting dan entah apa-apa barang. Gigih bekerja memungut sampah, lagaknya. Saya telek wajah dia, rupa-rupanya lelaki sama yang kami lihat tadi.
“Eh, tengok tu! Lelaki tadi!!” Saya memberitahu kawan di sebelah.
Terbayang semula cara dia bercakap tadi, saya rasa dia bukan gelandangan dan bukan juga pemungut sampah, jadi siapakah dia??