Kredit gambar: TZKRH

MAHALNYA NILAI SEBUAH KEPERCAYAAN@KEJUJURAN
(Kisah Ayah dan Tauke Seng Lee Part 1)

Kisah ini saya lakarkan khas bersempena fenomena yang sedang hangat melanda negara sekarang iaitu perbalahan di antara kaum dan bangsa. Setelah 62 tahun negara kita merdeka, jurang perpisahan dan kedengkian di antara bangsa utama di Malaysia semakin terserlah.

Kisah dua rakan niaga ini, mungkin boleh dijadikan renungan buat kita semua.

Dari seorang petani ayah menjadi ahli perniagaan. Ayah buka kedai runcit di kampung. Ayah bukanlah seorang yang berani. Tapi gigih. Dalam apa pun, dia bersikap bersederhana sahaja. Ayah tidak ada modal nak beli barang banyak. Untuk memperlihatkan barang di kedainya banyak, ayah susun kotak kotak kosong barang tertentu supaya kedai nampak meriah. Perniagaan ayah semakin maju. Barang sikit sudah jadi banyak. Ayah tidak ada modal besar tetapi barang tak putus dalam kedainya. Siapa tolong ayah? Ada orang tolong ayah. Siapa? Seorang tauke kedai runCit Cina di bandar. Dialah yang menghantar barang ke kedai ayah. Ayah order sikit, dia letak lebih. Awak tak perlu bayar dulu, kata tauke itu. Ayah disuruh bayar, apabila ada wang. Mula mula ayah takut. Takut tak lepas bayar. Tauke tu kata, tak apa. Bayar bila ada wang.

Mengapa tauke Cina tu rajin nak bagi ayah barang? Satu saja sebabnya. Dia percaya kepada ayah. Dia tahu ayah orang jujur. Ayah mesti bayar hutangnya. Kata ayah, satu yang dia pelajari berdasarkan pengalaman, apabila kita jujur dan tauke Cina sudah percaya, dia akan percaya selamanya. Dia akan terus menyokong perniagaan kita. Dan apabila kita sudah mendapat kepercayaan, jangan mengkhianati kepercayaan itu. Teruslah menjadi seorang yang jujur. Mengekalkan kejujuran itu sangat penting. Dengan itu juga, tauke itu mengesyorkan kawan kawannya supaya meletak barang di kedai ayah. Jadi ayah tak rasa susah lagi. Ayah menguruskan dengan baik pembayaran hutang dengan tauke dan dengan bank. Akaun keluar masuk ayah, tip top. Tak pernah belajar pengurusan akaun, tetapi akaun perniagaan ayah terurus dengan baik. Atas sebab itu juga, bank selalu memberi tawaran pinjaman kepada ayah, walaupun ketika itu ayah tidak memerlukannya.

Pernah satu masa ayah kesuntukan wang, ayah memberitahu tauke masalahnya. Ketika itu tauke sedang sibuk, tauke suruh ayah pergi ke kedai dan minta cek dengan isterinya. Ayah terkejut, ayah diberi cek kosong yang bertanda tangan, ayah bebas menulis seberapa jumlah duit untuk dipinjam. Ayah benar benar terharu. Tapi ayah cuma menulis jumlah yang diperlukan saja. Kemudian pergi ke bank dan menunaikannya. Banyak lagi kisah kalau nak diceritakan mengenai persahabatan ayah dengan tauke Cina itu. Sehinggakan kata ayah, ada tauke lain yang sebangsa dengan tauke itu meluahkan kepada ayah, dia kata dia hairan mengapa Tauke Seng Lee, terlalu baik dengan ayah, sedangkan kalau mereka yang sebangsa nak pinjam duit pun tidak dapat. Ayah tidak memberi sebarang komen. Hatinya berbunga-bunga, berasa amat bertuah dan bersyukur.

Perniagaan ayah terus berkembang. Kemudian ayah menjadi peraih getah, ayah beli getah dengan penduduk kampung dan menjualnya kepada tauke Cina yang selalu membantu ayah. Apabila ayah sudah berdikari dan Tauke Seng Lee membuka kilang getah (dan menjadi pengeksport), mereka semakin kurang berhubung, lantaran tauke itu sudah menjadi seorang yang sangat sibuk.

Ketika itu tauke tauke lain yang membantu meletak barang di kedai ayah pun sudah tidak terkira ramainya.

Menurut ayah lagi, dia juga tidak lupa, tauke cina tadi jugalah yang mendorong ayah supaya membeli kereta atau lori kecil. Ayah tak berani. Biasalah alasan ayah, takut tak lepas bayar. Dan tauke Cina itu menyakinkan ayah, awak boleh! Dia bawa ayah ke kedai rakannya untuk membeli kenderaan perniagaan yang pertama. Kalau tidak, ayah hanya memakai motosikal.

Ayah berniaga sehingga badannya tidak berdaya dan kemudian diambil alih oleh anak anak. Demikian sedikit coretan mengenai persahabatan ikhlas merentasi kaum di antara dua insan berlainan bangsa dan agama pada masa lampau. Banyak lagi cerita persahabatan di antara dua insan berlainan bangsa dan agama itu. Bersambung..kalau rajin he he.. (selalunya tak rajin).

Saya percaya ada juga yang melalui pengalaman seakan.

Namun ada juga terdengar cerita, tauke bangsa itu sailang perniagaan pelanggannya, orang Melayu. Pelanggan menempah produk di kilang tauke Cina (dalam kes ini, kilang seramik). Tidak disangka produk jenama milik Melayu itu mendapat sambutan hangat, lama kelamaan tauke itu mengeluarkan produk sendiri serupa dengan produk pelanggan Melayu itu menggunakan jenama lain. Produk itu dikeluarkan besar-besaran. Disebabkan kilang tauke Cina yang mengeluarkan produk, mudah sahaja boleh jatuhkan perniagaan Melayu tadi.

Hakikatnya, kejujuran dan hati baik itu bukan mengikut bangsa mahupun agama. Ia bergantung kepada individu. Bersih seketul hatinya, baiklah dia.

Catatan khas sempena menjelangnya Hari Kemerdekaan Ke – 62.

Ikut bab kedua, sambungan kisah ayah di link di bawah.

Tip Untuk Berjaya dalam Bisnes, Dari cerita Pengalaman Ayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here