
Misi Kembara Kemanusiaan Kelab Anita Bikers Edisi Ke-43 Rentas Borneo Selesai
KELAB Anita Bikers meneruskan siri Ekspedisi Merentasi Pulau Borneo tahun ini sempena kempen Tunggangan Selamat, Go Green Kembara Kemanusiaan Edisi ke-43.
Ekspedisi kali ini membabitkan lima peserta iaitu Anita Yusop selaku pengasas kelab itu, Mohd Saiful M Hanapiah merangkap mekanik ekspedisi, Mohd Ariffin Abdullah, Ipin Ariffin dan Nurniwan Abdullah.
Berlangsung lapan hari bermula 19 hingga 26 Jun 2019, Ekspedisi yang mendapat kerjasama Pelancongan Negeri Melaka, CF Moto dan KTNS itu, penuh dengan aktiviti lasak dan mencabar mental serta fizikal peserta.
Menurut Anita, dengan hanya menggunakan kenderaan CF motor/KTNS 650&250 cc, Ekspedisi ini berlangsung dengan sempurna. Sekali gus Misi Kembara Kemanusiaan Kelab Anita Bikers Edisi Ke-43 Rentas Borneo, selesai dengan jayanya.
Perjalanan bermula dari Kuala lumpur Ke Kota Kinabalu, kemudian ke Sandakan dan Lahad Datu. Selepas persinggahan di Escom Lahad Datu, Ekspedisi seterusnya menuju ke Semporna, Tawau, Kalabakan, Sapulut dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu yang mengakhiri perjalanan.
Menurut beliau lagi, sepanjang perjalanan peserta berhadapan pelbagai cabaran, dari mula perjalanan sehinggalah ke penghujungnya.
Antara aktiviti Go Green membabitkan peserta Ekspedisi yang disertai adalah lawatan ke Eskom Lahad Datu. Sesuatu yang membanggakan bagi pihak perserta apabila Anita Bikers diisytihar Duta Keamanan Eskom.
Kumpulan Ekspedisi kemudian menyertai program yang telah diatur iaitu lawatan ke kampung Orang Asli, melaksanakan misi bantuan sumbangan kepada masyarakat Bajau Laut dan Kempen Go Green.
Dengan kembalinya mereka ke tempat permulaan Ekspedisi di Kota Kinabalu, berakhirlah misi Anita Borneo Ride yang ke-4 (2019). Misi Kembara Kemanusiaan Kelab Anita Bikers Edisi Ke-43 Rentas Borneo Selesai
Program seterusnya yang sedang menanti tambah Anita, adalah “Anita Kembara Kemanusiaan Jalur Gemilang 2019”.