Pemandangan indah Tasik Chini

Tasik Chini Misteri. Seribu satu misteri menyelubungi Tasik Chini, penulis fobia hingga kini! Menonton babak istana muncul dari permukaan air dalam filem klasik, Sumpah Orang Minyak, kita menganggapnya sebagai khayalan. Namun seorang kawan mengaku dia pernah melihat kejadian seperti itu.

Pemandangan indah Tasik Chini

“Di mana?” Saya menyoalnya pantas.

“Di Tasik Chini,” jawabnya sambil menerangkan peristiwa itu berlaku beberapa tahun lalu sewaktu dia ke sana dengan sekumpulan rakan. Dalam diam rupa-rupanya kawan saya yang juga seorang penulis itu, menyimpan banyak pengalaman aneh.

Sedang menyusuri tasik dengan bot sehingga ke Sungai Chini, Pahang April 2014, asyik teringatkan cerita kawan itu. Pengalaman sukar digambarkan dengan kata-kata, teruja bercampur cemas! Benarkah ada istana muncul? Apa ada di dasar tasik? Adakah Sang Bedal atau Sang Panjang? Dalam hati berdoa minta disimpangkan semua yang tidak baik. Hmm….Seribu Satu Misteri Tasik Chini, Penulis Fobia Hingga Kini!

Sekembali dari situ, ayah pula memberitahu saya, tempat itu berpuaka! Terkedu sebentar, namun semua itu cerita lama. Kalau Pulau Mahsuri di Langkawi kini sudah bebas daripada bahana sumpahan, bagaimana pula dengan Tasik Chini? Yang pasti, suasana persekitaran kelihatan tenang saja, namun ia tetap menyimpan seribu satu kisah misteri silam yang tidak kita ketahui kebenarannya. Banya sangat kisah yang dibaca, Seribu Satu Misteri Tasik Chini, Penulis Fobia Hingga Kini!

Menurut catatan maklumat, di peringkat awal penerokaan oleh beberapa orang Asli, pelbagai kejadian aneh berlaku di tempat itu, termasuklah kejadian yang berkait dengan terbentuknya tasik berkenaan. Kini Tasik Chini menjadi salah satu destinasi eko pelancongan di Pahang, yang tidak sunyi daripada menerima pengunjung.

Setengah jam menyusuri air tasik sehingga masuk ke kawasan Sungai Chini, Alhamdulillah tiada benda  pelik berlaku.

Berkeluasan 4,000 hektar di daerah Pekan Pahang dan 100 km dari Kuantan, Chini adalah satu-satunya tasik dipenuhi tompokan tumbuhan air tawar, rasau atau mengkuang. Ternyata tasik itu bukan menampilkan pemandangan air semata-mata, sebaliknya ditumbuhi pokok berpulau di sana sini.

Sesetengah rumpun pokok daunnya bertaut di antara satu sama lain, memaksa kami meredah di celahnya.

Kembali kepada cerita mengenai istana yang muncul, itu cerita kawan berkenaan. Mata halusnya yang nampak, orang lain tidak. Bentuk seakan bangunan Burma, katanya. Aik, lagi pelik pula saya mendengarnya.

Membaca catatan asal-usul tempat berkenaan, bagai menjawab persoalan mengenai istana itu. Maklumat menyebut, ekoran satu peristiwa pada zaman dahulu, air tiba-tiba mengalir dengan banyaknya sehingga menenggelamkan kota kuno Khmer yang mempunyai penunggu. (Khmer dan Burma tu sama). Mitos kah cerita ini?

Mungkinkah kerajaan itu masih wujud di dunia bawah tasik dan sesekali menzahirkan rupa untuk dilihat oleh insan terpilih?

Biarpun tiada bukti kukuh dari sudut saintifik untuk mengesahkan semua itu, namun selama beratus tahun lamanya legenda itu mengisi pemikiran dan kepercayaan masyarakat asli di sana.

Penduduknya percaya tempat itu mempunyai penunggu, antaranya dikenali Seri Gumum, Seri Pahang, Seri Pekan dan Seri Daik.

Tasik Chini adalah antara 12 rangkaian tasik berdekatan Sungai Pahang iaitu tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera, pinggirannya didiami masyarakat asli, Jakun dan menjadi habitat sumber biologi, 138 flora dan 300 vertebra bukan akuatik dan 144 spesies ikan air tawar.

Saya berada di Tasik Chini mengikuti satu program, Kembara Akar Budi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 17 hingga 20 April, di Kampung Baru Penyor, Pekan, Pahang. Program diuruskan oleh seorang rakan, Aziz Desa (kini arwah).

Atur cara menyusuri tasik berlangsung jam 5 petang, dengan  permulaan perjalanan dari jeti berhampiran Chini Lake Resort yang membawa kami sehingga ke Sungai Chini dan berpatah balik apabila sampai di destinasi dikenali Lubang Ular. Nama dan destinasi itu juga mempunyai cerita misteri yang tersendiri.

Dengan nilai keunikan semulajadi dan kisah lagenda, menjadikan Tasik Chini sebagai salah satu destinasi pelancongan. Kami difahamkan, pada Jun hingga September permukaan tasik menjadi lautan teratai. Bagaimanapun kegiatan mengempang untuk mengekalkan kedalaman air semasa musim kering, dikatakan menganggu habitat sesetengah tumbuhan.

Menjelang senja, bot yang kami naiki secara konvoi, sampai ke jeti. Saya sempat merakam panorama syahdu berlatarkan langit jingga sebelum siang melabuhkan tirai. Dari pelantar jeti, saya turut merakam gambar daratan. Kelihatan unit rumah Lake Chini Resort, tempat kami menginap selama tiga malam sewaktu menyertai program itu.

Kembara Akar Budi membabitkan penyertaan hampir 100 warga universiti termasuk pelajar dan ahli akademik yang menyertai pelbagai kegiatan bersama penduduk kampung.  Sepanjang empat hari tiga malam, warga universiti ditempatkan di 25 rumah keluarga angkat di kawasan Felcra itu.

Kumpulan media dan artis anggaran 40 orang, dijemput oleh UIAM menerusi pengacara terkenal, Aziz Desa selaku perunding media bagi program berkenaan.

Perjalanan bermula Khamis di kampus universiti berkenaan pada awal pagi menghala ke Pekan dengan persinggahan pertama, di Muzium Sultan Abu Bakar diikuti tempat kelahiran Mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, di Kampung Pulau Keladi dan tiba di Kg Baru Penyor lewat petang, diteruskan dengan acara penyerahan 100  pelajar kepada 25 keluarga angkat.

Keesokannya, Jumaat berlangsung majlis perasmian Program Kembara Akar Budi oleh Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim.  Pelbagai kegiatan kemasyarakatan dijalankan seperti gotong royong, pameran dan rawatan kesihatan, program motivasi, sukan, forum perdana, demo masakan dan persembahan hiburan hinggalah ke pertandingan memasak, Ikan Patin Challenge.

Difahamkan ia adalah program pertama besar-besaran yang turut membabitkan kakitangan universiti dan pensyarah turut berkampung, termasuk orang kuat program, Profesor Datuk Mizan Hitam dan Naib Cancellor, Profesor  Dato’ Sri Zaleha Kamarudin .

Kehadiran sakil media meliputi pihak televisyen, akhbar dan majalah, bahkan blogger serta kartunis Binjai, juga chef terkenal, Chef Liza yang mengadakan demonstrasi masakan lima resipi istimewa serta Iqwal Hafiz, penyanyi muda bertaraf antarabangsa memeriahkan majlis.

Kembara Akar Budi juga turut dijayakan pengarah filem terkenal, iaitu Dr Mahadi J Murat yang kini Pengarah Pusat Antarabangsa Kebudayaan Islam (Citra).  Beliau hadir untuk membuat penggambaran dan menyelia kumpulan pelajarnya yang mengambil bahagian dalam persembahan kebudayaan pada sebelah malam hari Sabtu.

Persembahan berlangsung bersama Pentarama, Kementerian Penerangan. Penonton terpaku dengan pertunjukan muzik angklung dan zapin akustik. Ini satu perkembangan baru yang sangat membanggakan dari UIAM. Mereka berkongsi pentas bersama kumpulan Pentarama dari Kementerian Penerangan.

Sudah tentulah yang sangat dibanggakan adalah persembahan artis lima bintang, Iqwal yang mempersembahkan lagu yang diminta khas oleh Tan Sri Rais, Mentera Semerah Padi.

Kanak-kanak kampung menyenangi Iqwal dan beliau sendiri tidak kekok melayan mereka. Iqwal adalah anak vokalis terkenal, Mel Wings. Berusia 22 tahun, Iqwal.

Demonastrasi masakan Chef Liza tidak kurang menambat hati peserta. Beliau menunjukkan cara memasak beberapa resipi menggunakan bahan produk Ramly.

Tasik Chini Misteri, hanyalah ungkapan cerita dari mulut ke mulut yang kekal diingati oleh mereka yang tinggal di kawasan berkenaan terutama di kalangan orang asli. Ia penting untuk diingati kerana pengajaran peristiwa silam membuat mereka sentiasa menjaga susila dan pantang larang, demi keamanan.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here