SHARE

 

taj-mahal
Dari jauh, sayup kelihatan di celah kabus, bangunan istana Taj Mahal.

Apabila Taj Mahal, hanya dapat diintai di celah kabus… Tanyalah kepada sesiapa pun kalau ke India di manakah tempat pertama mereka mahu lawati, jawapannya Taj Mahal.

Mengimbau ingatan, Taj Mahal adalah sebuah pusara atau makam, dibina atas arahan maharaja Mughal, Shah Jahan bagi memperingati isterinya yang paling disayangi, Mumtaz Mahal yang mangkat sewaktu melahirkan anak mereka yang ke-14.

Mengambil masa 22 tahun (1631-1653) untuk disempurnakan, bangunan ‘lambang cinta’ abadi seorang raja terhadap isterinya itu itu dijaga kemas dan rapi sehingga kini. Teringin sangat melihat bagaimanakah rupanya Taj Mahal itu. Namun apa rasa anda apabila Taj Mahal, hanya dapat diintai di celah kabus?

old-palace-taj-mahal
Bangunan hebat Taj Mahal, dengan bayangan dalam air kolam.

Ada menyangka Shah Jahan membina monumen peringatan itu didorong kehendak sendiri namun ada versi cerita menyatakan ia permintaan Mumtaz sebelum menghembuskan nafas terakhir agar dirinya kekal diingati. Mengingati isterinya yang keempat itu, justeru baginda menunaikan permintaan berkenaan.

Terletak di bandar Agra, kira-kira 165 km dari Delhi, Taj Mahal daripada batu pualam atau marmar putih bukan tersohor kerana cerita cinta agung seorang raja terhadap isterinya semata-mata, ia dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat kehebatan seni binaannya yang dikatakan antara tujuh bangunan ajaib di dunia.

Bahagian dalaman tertera pelbagai corak ukiran timbul dan ‘inlay’ yang dihasilkan dengan begitu kemas lagi teliti pada permukaan batu semula jadi oleh pelukis pada zaman itu.

interior-design-tajmahal
Corak besi di dalam bangunan Taj Mahal

Kembara VS ke Taj Mahal bagaimanapun tercatat sebagai satu pengalaman sedikit mengecewakan kerana terkilan! Betapa tidak, kami sekadar dapat memandangnya dari jauh kerana gagal masuk walhal sudah termaktub dalam atur cara lawatan pakej percutian yang disertai.

Disember adalah musim sejuk, cuaca berkabus tebal di sana. Suasana kelam menunda jadual perjalanan pesawat yang kami naiki untuk ke Delhi dan Agra dari Kashmir, sekali gus menggangu jadual lawatan kami ke Taj Mahal.

Dapat pergi keesokannya, pada Jumaat iaitu hari Taj Mahal ditutup untuk pelancong. Bagaimanapun kami sempat dibawa melihat selepas melawat kubu lama, Agra Fort atau Kubu Merah. Bagaimanapun kami sangat terkilan hingga tak terkata apabila Taj Mahal, hanya dapat diintai di celah kabus dan hanya nampak sayup dari jauh.

 

interior-motive-taj-mahal
Corak timbul pada dinding merah.

 

Cuaca berkabus, itulah risiko kunjungan pada musim sejuk, November hingga Mac. Bahkan perjalanan dengan bas ke Agra melalui Yamuna Expressway sebelum itu juga menempuhi kabus tebal sehingga tidak nampak apa pun di sekeliling. Mujurlah pemandu dapat mengendali bas dengan baik.

Dari luar pagar,  sayup kelihatan Taj Mahal, berbayang di celah selaput kabus. Kedudukannya terpisah dengan Agra Fort oleh Sungai Yamuna.

Dengan pandangan jarak jauh, hanya terselit sedikit keterujaan melihatnya. Pada masa sama, akur dengan kegagalan menghayati antara tujuh bangunan terhebat di dunia. Takdir menentukan segala.

Namun rata-rata,  semua yang pernah melihatnya dari dekat memuji kehebatan seni bina Taj  Mahal, walaupun kelihatan usang namun masing-masing terkesima dengan kehalusan hasil tangan pekerja pada zaman dahulu.

Biarpun tidak dapat masuk, sempat juga membeli buku bergambar bertajuk Taj Mahal, yang membantu saya memahami cerita mengenai sejarah pembinaan istana agung itu.

Taj Mahal dilaporkan selesai pembinaannya pada tahun 1653, dibawah pengendalian Ustaz Ahmad,  menteri bertindak selaku arkitek. Dia mengumpul 20,000 pekerja termasuk jurukur, tukang binaan, tukang batu dan tukang emas untuk menzahirkan pembinaan sebagaimana diarahkan Shah Jahan.

taj-mahal-book
Buku maklumat mengenai Taj Mahal yang sempat saya beli.

Sesuatu yang ajaib, Taj Mahal dikatakan begitu indah sewaktu matahari terbit dan terbenam, kerana membiaskan kilauan cahaya berlainan. Waktu paling baik untuk melihat keajaiban itu dikatakan, sejurus sebelum matahari terbit atau terbenam.

Sewaktu bulan mengambang, Taj Mahal dibayangkan begitu indah, sukar untuk digambarkan  dengan kata-kata. Ada ulasan menyebut, seri cahaya perak meliputi Taj Mahal ketika itu, sungguh memukau sehingga kebanyakan benda lain dilihat selepasnya nampak biasa. Ia antara keunikan dan kehebatan seni bina dinasti Mughal, yang tidak terurai.

Pintu masuk ke Taj Mahal dibuka dari matahari terbit sehingga terbenam kecuali Jumaat, kerana dibuka  untuk kunjungan penduduk Islam setempat yang ingin menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here