SHARE

Ada minat semua boleh jadi. Daripada benda tidak tahu, menjadi tahu. Daripada tidak pandai, akhirnya mahir. Memang betullah kenyataan, minat dan keinginan mendalam itu mengatasi segalanya. Varia Seri membawa anda berkenalan dengan Razi Said dalam rencana bertajuk, Pereka Wau Sobek, Antara Pelayang Wau Terbaik.

kite-maker
Razi said menunjukkan busur wau daripada buluh

Menurut Mohd Razi Mohd Said, 46, asalnya memang beliau tidak arif mengenai permainan tradisional wau, sekadar gemar melihat orang bermain. Daripada situ timbal keinginan untuk membuat dan bermain wau buatan sendiri, kata beliau selaku pereka wau sobek, antara pelayang wau terbaik.

“Ketika baru bermula, saya tidak pernah terfikir akan pergi lebih jauh dalam bidang permainan ini sehingga mampu menguasai permainan dan menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Apatah lagi, tidak terfikir dapat membuat sendiri wau dan menjadi guru,” ujarnya selaku pereka wau sobek, antara pelayang wau terbaik.

Mengikut latar belakang sejarah wau di negara ini, berasal dari Pantai Timur Semenanjung tepatnya Kelantan dan Terengganu. Namun Mohd Razi yang lahir dan membesar di Lembah Klang iaitu di Selangor dan Kuala Lumpur, dapat juga mengutip ilmu permainan wau dan cara membuatnya.

making-kite
Proses menampal kertas wau

Namun Mohd Razi mengakui, kemahiran itu bukan dikutip dalam sekejap masa, ilmu dan pengalaman itu diperolehi setelah memberi banyak masa untuk berlatih bagi menguasai teknik bermain serta membuat alat permainan budaya itu dengan pakar.

Berasal dari Selayang, Selangor katanya keinginan untuk belajar dan berguru disebabkan beliau ingin tahu cara dan teknik yang betul bermain dan membuat wau.

“Sebab mahu belajar membuat wau kerana seringkali juga wau yang saya beli rosak dan patah ketika hendak menaikkannya. Setiap kali rosak, saya cuba membaikinya secara ‘try and error’ dan hasilnya tentulah tidak memuaskan,” ujar beliau sambil menambah, kalau ada kemahiran membuat tentulah lebih mudah untuk membaiki.

Mula-mula beliau belajar dengan seorang rakan berasal dari Kelantan, pada masa sama berusaha mencari guru idola.  Tiga  adiguru beliau adalah, Allayarham Pak Sapie Jusoh, Ahmad Kalimullah (Kalimi Wau) dan Husmizi Ibrahim.

kite-design-sketching
Melakarkan corak wau

Satu lagi sebab beliau minat terhadap wau kata Mohd Razi yang selaku pereka wau sobek, antara pelayang wau terbaik ialah kerana keunikan corak dalamannya.

Mengakui bukan baru dalam bidang itu, beliau berkata: “Saya mengumpul, bermain dan membuat wau sudah  11 tahun. Dulu membuat wau sekadar untuk bermain dan mengisi masa lapang.  Kemudian membuat untuk koleksi peribadi sambil mengambil bahagian dalam pertandingan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang dan Pesta Wau Antarabangsa Kelantan.”

Pertama kali saya mewakili negeri Selangor pada 2010 di Pesta Wau Antabarangsa Kelantan dalam kategori Wau Naik,” ujarnya.

Kini beliau membuat wau fokus untuk pertandingan dan pameran serta kegiatan bengkel. Dalam pada wau dipandang sepi oleh sebahagian besar masyarakat, beliau gembira masih ada sekelompok orang yang menghargai permainan budaya itu.

Antaran koleksi wau yang dihasilkan Razi Said.

Paling beliau teruja apabila dijemput oleh sebuah sekolah antarabangsa untuk mengendalikan bengkel membuat wau yang disertai pelajar berasal dari pelbagai negara di dunia. Beliau juga pernah mengendalikan bengkel wau untuk sekolah Cina. “Tidak sangka masyarakat bukan Melayu juga berminat untuk mempelajari cara membuat wau, tanda mereka turut menghargai alat permainan budaya ini,” ujarnya.

Malah kegiatan beliau membabitkan wau pernah dipaparkan dalam akhbar berbahasa Cina, antaranya Sin Chew Daily.

“Ramai orang minat untuk belajar membuat wau tetapi kerjanya memerlukan tumpuan masa dan minat mendalam,” tambahnya yang bertugas sebagai kerani di sebuah pejabat peguam di Petaling Jaya.

Dalam kegiatan bermain dan membuat wau, Mohd Razi sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan. Menurut beliau lagi, isteri dan anak-anaknya menyokong penuh kegiatannya itu.

Sewaktu kunjungan ke kediamannya di Selayang untuk melihat koleksi wau beliau, ternyata semua ahli keluarganya menunjukkan minat yang mendalam dalam kegiatan bersabit wau. Mereka tahu peringkat pembuatan wau dan terbabit membuatnya.

kite-playing
Bersedia untuk melayangkan wau.

Menurut Mohd Razi minat mendalam beliau terhadap bidang itu timbul selepas beliau berkahwin. Mulanya membuat wau sekadar mengisi masa lapang di rumah, tetapi apabila mulai terbabit dengan pertandingan (membuat dan bermain), beliau terus menekuni bidang itu, didorong oleh kemenangan demi kemenangan yang dicapai. Dalam kebanyakan pertandingan yang disertai, beliau sering terpilih sebagai pemenang.

“Kini boleh dikatakan, isteri dan anak-anak adalah tulang belakang saya dalam kegiatan ini,” tambahnya sambil mendedahkan, isteri beliau, Zuraini Yunus, 41, banyak membantu, begitu juga tiga anak mereka, iaitu Amira Wardina, 16, Mohd Amirul Haiqal, 13 dan Mohd Amirul Syafiq, 12.  Anak saya bukan saja membantu di peringkat membuat, bahkan  turut terbabit sewaktu pertandingan dan pernah juga menyertai pêrtandíngan.

Mohd Razi mengakui sejak 2010 sehingga 2018, beliau sudah mengumpul 50 hingga 60 unit wau. Selain membuat wau untuk tujuan menyertai pertandingan, banyak juga yang ditempah oleh pelbagai pihak termasuk dari luar negara.

Sesiapa yang hendak membeli wau katanya, perlu menempah dahulu. “Saya akan menghasilkan wau mengikut kriteria dikehendaki penempah,” ulasnya sambil meneruskan, dari segi kos bahan sederhana saja tetapi kesukaran untuk mendapatkan bahan dan kerumitan menghasilkannya, menjadi faktor penentu harga. Sesetengah daripada bahannya agak sukar untuk diperolehi dari kedai blasa.

“Bagi wau ringkas harganya sekitar RM300 seekor sementara yang rumit seperti jenis wau sobek, mencecah ribuan ringgit seekor,” jelasnya yang mahir dalam pembuatan pelbagai jenis wau, antaranya Wau Bulan, Wau Jalabudi, Wau Puyuh, Wau Merak dan Wau Kucing.

Ditanya sama ada terdapat pantang larang dalam kegiatan membuat wau katanya, “bagi saya tiada istilah itu cuma saya berasakan rugi kalau generasi muda tidak mengambil peluang menyertai kegiatan seni ini kerana ia merupakan seni warisan tradisi orang kita.”

Apa pun menurutnya, permainan wau atau layang-layang yang suatu ketika dahulu lebih popular di pedalaman dan dimainkan di kawasan lapang seperti di padang dan sawah, kini turut digemari orang bandar. Namun kebanyakan mereka hanya gemar bermain dan jarang yang tahu membuat wau.

Mohd Razi kini giat membuat persiapan untuk menyertai Pertandingan Wau Antarabangsa Kelantan 2018 yang bakal diadakan minggu depan.

Razi-said -wau-maker
Razi Said, pereka wau

Selama 11 tahun terbabit, beliau telah mengumpul banyak sijil dan piala kemenangan dalam pelbagai pertandingan antaranya Kategori Wau Sobek di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Johor 2014 sebagai Johan Jalabudi Wajib Naik Peringkat Kebangsaan; Naib Johan Wau Bulan Wajib Naik Peringkat Kebangsaan; serta Naib Johan Wau Kucing Peringkat Kebangsaan.

Pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 beliau menjadi Johan Wau Daun Wajib Naik, Naib Johan Wau Bulan Wajib Naik,

Naib Johan Wau Jalabudi Wajib Naik. Sementara pada pesta sama tahun 2015, menjadi Johan Wau Bulan Wajib Naik.

Tahun lepas, di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2017 pula , terpilih sebagai Johan kategori Wau Merak Wajib Naik; dan Johan Wau Kucing Wajib Naik di Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2017; Selain

tempat Ketiga Kategori Kumpulan dalam pertandingan Wau Bulan Besar (Gergasi) di Festival Layang-Layang Sedunia Pasar Gudang 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here