SHARE

WAU ialah sejenis alat permainan tradisional yang dikatakan wujud di kalangan masyarakat Melayu sejak 500 tahun lalu. Permainan wau atau juga dikenali layang-layang dahulunya popular di kawasan lapang seperti di pantai dan sawah padi di kampung. 

Sejak dulu wau dimainkan untuk tujuan hiburan dan dipertandingkan terutamanya oleh para petani selepas menuai padi, bagi menghilangkan rasa penat bekerja sepanjang musim penanaman. Namun kini permainan ini turut diminati masyarakat bandar. Kawasan lapang seperti tasik awam dijadikan tempat bermain oleh semua kaum.

kite making
Himpunan wau milik Razi Said

Asal-usul permainan wau sebenarnya tidak diketahui namun dipercayai bermula pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511), dimainkan di kalangan anak raja. Ini berdasarkan buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menceritakan tentang permainan wau.

Kemudian permainan wau menjadi hobi penduduk di kawasan pendalaman terutama bagi negeri di Utara Semenanjung. – Kelantan dan Terengganu, selain dikatakan juga terdapat di Kedah dan Perlis. Permainan wau juga tidak asing di kalangan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, sehingga kini tidak diketahui daripada negara manakah sebenarnya bermulanya permainan ini.

jala-budi-wau
Wau Jala Budi siap dihasilkan.

Pada dasarnya, wau dan layang-layang adalah permainan sama, namun wau dibuat secara tradisional menggunakan tangan mengutamakan bahan daripada alam seperti buluh dan kertas, sementara layang-layang daripada bahan yang dihasilkan secara teknologi seperti plastik dan polimer.

Penggunaan mesin, menghasilkan layang-layang dalam jumlah banyak pada satu masa dan dijual jauh lebih murah daripada wau tradisional buatan tangan. 

Contoh corak wau sobek yang dibuat dengan teknik tebuk tampal.

Sebaliknya penghasilan wau menampilkan sentuhan seni menerusi corak kertas sama ada yang dilukis atau dicorakkan oleh teknik tebuk tampal menggunakan alat pemotong pisau. Pembuat wau tradisional kini semakin berkurangan kerana pembuatannya rumit.

Salah seorang masih tekun menghasilkan wau ialah Mohd Razi Mohd Said, 46, individu yang mahir dalam kedua-dua bidang iaitu membuat wau dan bermain wau. Gemar bertanding, kelebihan beliau adalah menggunakan wau buatan sendiri setiap kali menyertai pertandingan.

Beliau tidak lokek untuk menurunkan ilmunya kepada genarasi muda. Bagi pelajar sekolah atau kolej katanya, beliau sanggup mengajar secara percuma dengan alasan kini tukang sudah semakin berkurangan dan tiada pelapis.

bamboo
Buluh dipotong berbilah seperti ini untuk membuat wau

Menurutnya lagi, bahan utama wau meliputi buluh untuk rangka dan kertas untuk badan. Bilah buluh yang diraut diguna sebagai rangka wau yang dilenturkan membentuk jenis wau yang dikehendaki. Antara sesuai untuk membuat rangka wau adalah buluh jenis Betung.

Buluh siap dijadikan rangka wau.

Lapisan kertas putih hitam dan berwarna diguna untuk membentuk corak pada badan wau jenis sobek. Pensel untuk melakar asas corak, pisau untuk menebuk dan gam untuk melekatkan kertas pada rangka buluh. Gunting untuk memotong kertas sementara tali untuk melayangkan wau. 

Melakar corak wau pada kertas putih

Dua bahagian kerja yang utama menurut Mohd Razi adalah membuat rangka daripada bilahan buluh dan menghasilkan corak tebuk tampal (sobek). 

“Lukisan awan larat pada semua jenis wau, berdasarkan satu pertumbuhan. Ia bermula daripada sebuah pasu sebagai pusat pertumbuhan di bahagian tengah wau iaitu di garis simetri.  Daripada situ bermulanya pertumbuhan pokok yang kemudian dilakarkan membawa ke bahagian kiri kanan dan ke atas, aliran lakaran bergerak mengikut proses pertumbuhan pokok yang tidak putus dengan hiasan motif daun dan sulur paut yang membentuk corak,” ujar  Mohd Razi.

 making -the-design
Wau bulan kecil siap ditebukkan corak.

Dalam bengkel wau, ada kala beliau telah bersiap sedia dengan rangka wau, peserta diajar membuat corak menggunakan pisau khas.

Hakikatnya kata beliau, wau yang elok bergantung kapada kesempurnaan rangkanya, di samping turut bergantung kepada pemasangan tali teraju dan busurnya.  Penghasilan corak pada kertas wau untuk fungsi keindahan dan nilai seni.

“Teraju yang dipasang pada keudukan yang betul menghasilkan wau yang berfungsi sempurna dan busur yang bagus mengeluarkan dengung yang menangkap telinga,” ulas beliau sambil menambah, pengalaman penting untuk menjadi seorang pembuat berkualiti.

Mohd Razi yang berpengalaman 11 tahun di bidang pembuatan dan permainan wau,  bermurah hati menunjukkan cara menghasilkan kerja sobekan  atau menghias wau dengan corak tebuk tampal.

wau-making
Kegiatan Razi dalam bidang wau mendapat sokongan semua ahli keluarganya.

Bahan diperlukan ialah bilah buluh, kertas utama hitam-putih atau putih perak, kertas berwarna, gam, benang, tali, pisau gunting. 

Secara ringkasnya proses, dimulai peringkat melakar dengan pensel mengikut kreativiti, bermotifkan corak awan larat yang berasaskan pokok menjalar di atas kertas, sebelah warna putih. Diikuti menebuk corak mengikut lakaran dan menampal kertas berwarna di atas kertas asas yang ditebuk. 

Selesai membuat corak, dipotong dengan gunting kertas mengikut bentuk wau,diikuti digam pada rangka buluh dan dipasangkan busur, tali teraju dan tali wau.

wau pasting
Membuat wau tradisional secara manual

Wau paling rumit saya hasilkan menggunakan lebih 20 keping kertas pelbagai warna, mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan,” kata Mohd Razi.

Menurutnya, wau yang mempunyai nilai seni tradisional adalah semua jenis wau yang coraknya dihasilkan menerusi teknik sobek, iaitu tebuk dan tampal.

“Ada wau sobek untuk diterbangkan dan ada yang dibuat semata-mata untuk dipertandingkan keindahan coraknya,” ulas beliau.

learning-wau-making

Saya pun tidak ketinggalan nak belajar menyobek (menebuk kertas wau dengan pisau untuk menghasilkan corak). Perasaan? Jenuuuuuuuuhhhhhh…..

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here