Sudah lama tinggalkan kampung halaman. Semua aktiviti yang membabitkan amalan penduduk kampung pada zaman kita muda remaja dulu, bagai sudah dilupakan. Pada suatu petang, sewaktu melewati padang taman perumahan tempat kediaman sendiri di Gombak beberapa hari menjelang Aidilfitri 2018, terkejut melihat deretan pelita panjut di dua lokasi taman yang sama. Ketika itu belum diketahui bahawa sedang berlangsung acara Pertandingan Pelita Panjut, apa pun melihat itu terus terimbas Nostalgia Malam 7 Likur.- Pertandingan Pelita Panjut Nostalgia Malam 7 Likur.
Pada siang hari tiada sebarang tarikan, namun tika malam menjelang pabila semua sumbu pelita dinyalakan, terserlah tarian liuk lintuk api, menyerlahkan cahaya, sekali gus mencuri perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan terbabit. Melihat itu, mereka dari kampung yang sebaya penulis, pasti terkenangkan nostalgia sambutan Malam 7 Likur.- Pertandingan Pelita Panjut Nostalgia Malam 7 Likur
Suasana itu juga menandakan Ramadan kian sampai ke penghujungnya. Pada zaman kanak-kanak di kampung, beberapa hari sebelum munculnya Syawal, keadaan meriah dengan limpahan cahaya pelita panjut yang dipasang di halaman rumah. Dulu dulu di kampung kami di Jerantut Pahang, tidak pernah pula ada Pertandingan Pelita Panjut. Tanpa di suruh atau kerana arahan, ahli keluarga terutamanya si bapa, secara automatik akan bersiap sedia dengan pelita panjut untuk menerangi halaman.- Pertandingan Pelita Panjut Nostalgia Malam 7 Likur
Kemudian kegiatan itu dikaitkan dengan amalan bidaah mengikut Islam apabila dikatakan pemasangan pelita panjut bertujuan menyambut kepulangan roh ahli keluarga. sejak itu masyarakat tidak lagi mengamalkannya kecuali di tempat tertentu seperti di beberapa kampung di Perak.
Sementara itu ramai yang lain tidak lagi memasang pelita panjut, sebaliknya digantikan dengan lampu kelap-kelip, tanpa ada apa-apa niat lain selain untuk menceriakan suasana kediaman sempena merai perayaan.
Berasaskan matlamat untuk keceriaan dan mengembalikan tradisi silam, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 4, Amir Fazlee, baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Pelita Panjut, dengan tema “Kembalikan Suasana Kampung”.
Menurut Amir, ini kali pertama pertandingan seumpama itu dianjurkan di Zon 4 MPS.
“Ia adalah cetusan idea saya sendiri selaku Ahli Majlis dan Pengerusi Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) Zon 4. Idea ini tercetus setiap kali saya membaca rencana berkaitan hari raya yang selalunya menampilkan gambar pelita panjut, sekali gus mengimbau kenangan zaman kita kecil di kampung,” ujarnya sewaktu dihubungi.
Mengulas mengenai objektif pertandingan pelita panjut kata beliau;
* Pertamanya untuk menyemarakan suasana hari raya di taman perumahan dengan suasana ala kampung.
* Kedua, mendedahkan kepada generasi muda serta anak-anak, bagaimana tradisi pemasangan pelita panjut ketika sambutan raya di kampung; dan
* Ketiga, memupuk semangat kerjasama, menambah jalinan ukhwah dan silatulrahim sesama jiran.
Menurut beliau lagi, pertandingan berkenaan terbuka kepada KRT dan Persatuan Penduduk yang ada dalam kawasan JKP Zon 4. Penyertaan dibuka kepada 10 kumpulan terawal mendaftar tapi cuma enam sempat menyiapkan tugasan, walaupun asalnya 10 yang mendaftar.
“Sesuatu membanggakan apabila kumpulan terbabit berjaya menzahirkan kreativiti binaan pelita panjut dalam masa hanya empat hari termasuk hari pendaftaran dan pengadilan pada 9Julai 2018,” ujarnya.
Enam kumpulan mengambil bahagian ialah KRT Fasa 9A Tmn Sri Gombak (TSG); KRT Fasa 4 TSG; Task Force 101 (Mewakili Kejiranan Fasa 1 TSG); KRT Fasa 10 TSG; KRT Flat Pinggiran Bt Caves dan Kejiranan 9/27 fasa 9 TSG.
“Disebabkan ini satu percubaan untuk melihat sambutan daripada kalangan penduduk, kriteria penyertaan dan permarkahan tidaklah ketat. Kita lebih melihat kepada;
* gerak kerja atau kerjasama gotong-royong ahli kumpulan;
* cetusan suasana halaman rumah kampung dan
* kemeriahan yang diwujudkan ketika hari penjurian, misalnya mengajak penduduk turun bersama malam itu dan pelaksanaan gimik anak-anak bermain bunga api.
“Empat juri yang tinggal di luar Zon 4 dilantik untuk mengadili termasuk seorang Ahli Majlis dari Zon 7, seorang Pegawai Jabatan Landskap MPS, seorang Ketua Kampung dari DUN Sg Tua dan Pimpinan Wanita Keadilan DUN Sg Tua serta saya sebagai pemerhati,” ulas beliau.
Yang terpilih sebagai pemenang katanya adalah KRT Fasa 9A tempat pertama, KRT Fasa 10 (kedua) dan Kejiranan 9/27 ( ketiga). Sijil diberikan untuk setiap penyertaan, selain tropi, hamper dan wang tunai.
Dari segi sambutan tambahnya, adalah menggalakkan namun jangka masa yang terhad menyebabkan empat kumpulan menarik diri.
“Ada pasukan begitu serius dalam persediaan walau telah dimaklumkan pertandingan itu adalah percubaan pertama, bersifat santai serta lebih fokus kepada menghidupkan suasana sambutan raya,” ujar Amir sambil menambah sambutan menggalakkan mendorong JKP Zon 4 merancang pertandingan sama tahun hadapan dengan persediaan lebih baik dari segi peruntukan masa, kriteria, pembabitan pasukan dan hadiah.
Tanpa usaha seperti itu, diramalkan amalan budaya ini bakal menjadi sejarah sekiranya tidak dikembalikan.