SHARE

Oleh Siti Dimiati

Bukan mudah mengatur satu program membabitkan ramai pengamal media, blogger dan orang berpengaruh, jika tidak disertai semangat dan team berpengalaman, pasti kelam kabut, namun alah bisa tegal biasa, Program NBOS Jelajah Media Rentak Selangor 3.0  (2018), yang diuruskan GAYA TRAVEL MAGAZINE April lalu, berjalan lancar.

Kesemua Program Jelajah Media Rentak Selangor anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN),  diuruskan dengan jayanya oleh Gaya Travel, lantaran sudah lama berpengalaman dan arif menganjurkan program seumpamanya.

traditional suit
Peserta menggayakan pakaian tradisional di Muzium Sultan Alam Shah.

 

Bahkan program-program lain yang diuruskan Gaya Travel sebelum ini tidak pernah menghampakan. Objektif program Rentak Selangor 3.0 adalah untuk memperkenalkan tradisi budaya pelbagai etnik di Selangor.  Jom ikuti siri perjalanan jelajah Rentak Selangor 3.0 yang bermula di Matic, Jalan Ampang hinggalah ke Batu Caves, selama lima hari bermula 1 April 2018.

Seawal jam 8.30 pada 1 April pagi kami berkumpul di Matic, namun disebabkan penutupan jalan-jalan utama di Kuala Lumpur ketika itu menyebabkan kami bergerak lewat sedikit, menuju ke Muzium Sultan Alam Shah, di Shah Alam Selangor untuk melihat pameran dan kesenian barang-barang lama di sana.

old bottle exhibition
Persembahan Pameran Botologi Malaya.

Menarik utk dikongsikan, antaranya pameran botol Botologi Malaya. Teruja juga tatkala menatap satu persatu botol lama di situ. Kami dapat melihat sendiri pelbagai bentuk botol lama dari zaman purba hinggalah ke zaman P.Ramlee.

Pelbagai koleksi dan jenama botol terdapat di sini melebihi 50 jenama yang kebanyakannya botol minuman. Terasa seakan berada pada zaman dahulu, duduk di meja kopitiam dikelilingi botol-botol lama yang unik dan menarik.

Bagi peminat barang lama, jangan lepaskan peluang melawat pameran itu. Lebih 1000 botol dapat dilihat meliputi pelbagai bentuk yang sesetengahnya dengan nilai tersendiri.

Antara dapat dilihat di pameran itu, botol minuman popular Coca Cola, Soda, 7-Up dan banyak lagi.

Kalau nak tahu, ada 16 individu terbabit mencari botol-botol lama ini. Dilaporkan, dalam pencarian itu, mereka menempuhi pengalaman berbeza-beza, antara yang didedahkan pengalaman sewaktu memulakan pencarian di satu tanah perkuburan.

Difahamkan dari situlah tercetusnya idea untuk mereka mencari dan menambah botol lama bagi dikumpul dan dipamerkan.

islamic exhibition
Pameran Rehlah Nabawiyyah atau Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW

Selesai lawatan di muzium itu, peserta jelajah Rentak Selangor 2018 dibawa pula ke Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam yang mana di situ, pengunjung boleh melihat pelbagai khazanah dan artifak zaman Rasulullah s.a.w yang sememangnya sangat mengujakan menerusi Pameran Rehlah Nabawiyyah atau perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.

Ada diterjemahkan menerusi gambar lukisan di dinding,  ukiran batu dan replika tiga dimensi termasuk contoh suasana ruang serta rumah Baginda Nabi. Melihat semua itu, kami dapat bayangkan betapa payahnya kehidupan pada zaman Rasulullah. Lebih-lebih lagi dalam bab menyebarkan agama Islam.

Bagi yang belum melihatnya, bolehlah ambil peluang beriadah di muzium berkenaan sambil menjejak artifak Rasulullah melalui pameran itu. Bukan hanya dapat melihat barang dan artifak, tetapi juga boleh menghayati mesej yang disampaikan melalui informasi video  mengenai perjalanan Rasulullah bersama sahabat-sahabat.

Maklumatnya sangat memberi kesedaran dan keinsafan buat semua. Kami peserta jelajah Rentak Selangor 3, turut terkesan. Pengunjung diperlihatkan bayangan suasana kehidupan Rasulullah s.a.w dari zaman kanak-kanak, sehinggalah ke zaman kebangkitan Islam.

Islami war location
Gambaran suasana lokasi perang penting dalam Islam dalam bentuk tiga dimensi.

Menariknya, turut dipamerkan replika beberapa peperangan penting dalam Islam. Kalau selama ini kita hanya mendengar cerita perang melalui tulisan, di situ dapat dilihat dalam bentuk suasana dan figurin tiga dimensi.

Selesai di situ, kami kemudian menuju ke hotel untuk acara perasmian program dan makan malam.

Hari berikutnya kami dibawa ke Homestay Kg Sg Haji Dorani untuk melihat sendiri aktiviti kesenian dan kebudayaan masyarakat Jawa di situ. Kami bergerak ke sana selepas singgah makan di Restoran Lembah Bernam yang menghidang makanan eksotik rendang landak, masak kicap daging rusa dan arnab goreng. Wah berselera masing-masing, dapat menikmati hidangan masakan kampung itu.

eating at Lembah Bernam Restaurant
Menikmati hidangan eksotik di Restoran Lembah Bernam

Sebaik sampai di Kg Sg Haji Dorani, kami disambut dengan paluan kompang dan pencak silat. Seterusnya dipersembahkan pertunjukan alatan muzik termasuk kompang jawa, gamelan, barongan dan kuda kepang, sebagai simbolik pengenalan sebelum acara sebenar pada sebelah malamnya.

Masyarakat jawa sememangnya kaya dengan adat dan budi bahasa selain memulia tamu dengan pelbagai hidangan, bermula dengan minum air kelapa muda sebaik sampai, diikuti minum petang bersama kek, karipap dan mihun goreng.

Pada sebelah malam, sebelum bermula aktiviti kuda kepang yang ditunggu-tunggu, kami dihidangkan  menu wajib Nasi Ambeng, berlaukkan campuran sambal goreng jawa, ayam masak kicap, mi goreng, ikan masin – diletakkan dalam satu dulang dan dikongsi makan bersama 4-5 orang. Amalan budaya ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan mengekalkan nilai murni masyarakat jawa. Makan sambil bersila sememangnya saat dan kenangan yang tidak dapat dilupa bagi yang pertama kali melaluinya.

Sementara menanti persembahan kuda kepang bermula, beberapa rakan media mencuba bakat menggunakan alat permainan tradisional yang ada.

musical instrument
Persembahan alat muzik mengiringai pertunjukan barongan.

Acara dinanti-nantikan berlangsung lebih dua jam, kami dihidangkan dengan persembahan tarian kuda kepang yang dianggap `permainan berhantu` iaitu boleh menyebabkan pemain dirasuk, tidak sedarkan diri. Bahkan ada pengunjung yang lemah semangat turut dirasuk dan tidak sedarkan diri. Pun begitu si pawang cekap mengemudi permainan akhirnya semua penari mahupun yg dirasuk dapat dipulihkan. Acara itu selesai selepas jam 12 malam.

Selepas itu, kami pulang ke hotel dengan keletihan dan menyambung perjalanan keesokan harinya, ke perkampungan Orang Asli di Sg Bumbun Pulau Carey, Selangor. Di sini kami disambut baik oleh penduduk, sekaligus dirai dengan persembahan kesenian terutama tarian dan kebudayaan termasuk tarian ‘Jo-Oh’ bermaksud makan dan minum sebagai simbolik menyambut kehadiran kami sebagai tetamu.

Tarian Jo-Oh ini membabitkan beberpa penari lelaki dan wanita yang mengenakan pakaian dan perhiasan dari daun nipah dan mengkuang. Manakala alat muzik yang digunakan seperti gendang, tuntong ( buloh), tawuk (gong) dan biola.

Pulau Carey
Di kampung Orang Asli Pulau Carey.

Disamping persembahan kebudayaan menggunakan peralatan tradisi, kami turut dibawa ke sebuah rumah khas dimana ia merupakan salah satu tempat pemujaan dan upacara keagamaan bagi memperingati nenek moyang mereka mengikut adat dan budaya yang diperkenalkan sejak turun temurun.

Selesai bersantai di perkampungan Orang Asli itu lebih dua jam, kami dibawa ke istana lama di Jugra, Banting. Peserta dirai dengan tarian adat, diikuti meninjau ruang dalaman bangunan tinggal itu yang menempatkan lebih kurang 40 bilik.

Jugra old palace
Istana Alaeddin Istana Bandar di Jugra, Selangor (istana Sultan Selangor ke 5)

Seandainya ingin mengadakan lawatan berpandu ke istana Alaeddin Istana Bandar ini, bolehlah menghubungi pihak Adat Melayu dan Warisan Negeri Selagor (PADAT).

Pada sebelah petang, kami singgah di lokasi tumpuan pelancong sedunia, Kuil Hindu Batu Caves yang popular di kalangan masyarakat India, tempat meraikan perayaan Thaipusam. Di sini kami disambut dengan paluan gendang mengikut adat dan budaya agama Hindu. Selesai persembahan, kami kemudian kami terus menuju ke Matic utk jamuan makan malam sempena acara penutup utk program jelajah Rentak Selangor 2018.

indian hindu musical
Persembahan gendang di Kuil Hindu Batu Caves

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here