anak-ramai
Anak ramai pembuka rezeki dan sumber kekuatan untuk terus sukses dalam kerjaya "-

Oleh: Ida Rahim

Pada zaman moden serba mahal dan mencabar ini, bukan semua wanita sanggup mempunyai anak ramai dan pada masa sama kekal dalam kerjayanya di pejabat. Kalau ada menganggap anak ramai sebagai pembuka rezeki dan sumber kekuatan untuknya terus sukses dalam kerjaya, wah orang kata itu memang `win`!

anak-pembawa-rezeki
Setiap anak dilahirkan bersama rezekinya masing-masing.

Ini juga bermakna wanita itu meyakini ajaran Islam, yang mengatakan setiap anak itu dilahirkan bersama rezekinya masing-masing. Namun rezeki itu tidak datang bergolek, maka dia dan suami perlu berusaha keras untuk mendapatkan rezeki buat anak-anak. Baginya, anak ramailah yang meluaskan pintu rezeki dan memberi kekuatan kepadanya terus sukses dalam kerjaya.

Dalam pada itu, ada kes ibu muda berhenti kerja kerana ingin memberi tumpuan kepada jagaan anak di rumah dan tidak mahu mengguna khidmat pembantu. Ada yang mempunyai seorang anak, sudah tidak sanggup tanggung dua bebanan kerja di pejabat dan di rumah serentak, lantas meletak jawatan tanpa rasa bersalah.

Betul atau tidak keputusan mereka itu tiada siapa boleh membidas kerana ia hak masing-masing.

ibu -sumber-kekuatan-ekonomi
Ibu gigih, Kamarulhayati.

 

Mengenai Kamarulhayati

Berkait hal ini, Pengurus Jualan dan Pemasaran Cawangan, sebuah bank nombor satu di Malaysia, Kamarulhayati Othman, 46, ibu kepada tujuh anak berkata, baginya anak ramai tidak bermakna perlu berhenti kerja.

Berkahwin dengan Boss sendiri sewaktu bekerja di sebuah syarikat kewangan pada 1991, menurut Kamarulhayati ilmu diperolehi di universiti, kepercayaan dan tanggungjawab diserahkan majikan kepadanya, tidak wajar disia-siakan.

Sebagai Pengurus Jualan dan Pemasaran Cawangan Bank No.1 di Malaysia, bidang tugas beliau adalah pengkhususan dalam Bahagian Pinjaman Perumahan, Pelaburan Saham Amanah dan Insuran.

“Bukan senang harungi cabaran kerja, melalui pelbagai halangan dengan politik pejabat dan onak duri untuk sampai ke tahap sekarang, justeru tidak mudah untuk saya lepaskan,” ujarnya yang bekerja di bidang perbankan sejak usia 20 tahun.

anak-ramai
Anak ramai pembuka rezeki dan sumber kekuatan untuk terus sukses dalam kerjaya “-

Prinsip sebagai anak

Berasal dari Jerantut, Pahang katanya kekal bekerja sebagai salah satu cara mengenang jasa orang tua, hasil pendapatan boleh membantu mereka dan suami dari segi ekonomi.

“Dua tahun berkahwin, baru saya melahirkan anak pertama pada 1996, selepas itu rapat-rapat bersusun macam susun paku, lahir seorang jarak setahun dan dua tahun sampailah tujuh,” katanya yang bersuamikan Mohd Yazin Abd Majid, 50, dari Alor Gajah, Melaka. Mereka menggunakan khidmat pembantu rumah kerana yuran pusat asuhan, lebih tinggi jika anak ramai.

Pernahkah terfikir untuk berhenti kerja bagi menjaga anak?

“Walau apa pun, saya kena bekerja. Kalau tidak, macam mana nak membantu suami dari segi kewangan dan  segala keperluan? Suami saja tak cukup. Anak ramai, bukan alasan membiarkan hidup mereka daif. Sebolehnya, biarlah sempurna dan lengkap segala,” ujarnya yang mempunyai anak berusia 5 hingga 20 tahun.

Berusaha Gigih Untuk Dapatkan Keselesaan

Demi keselesan, mereka mengusahakan rumah sesuai dengan bilangan ahli keluarga, mempunyai bilik dan ruang mencukupi, dengan kedudukan di lokasi yang ada segala kemudahan asas serta mempunyai nilaian tinggi dari segi hartanah.

“Itu semua bukannya murah, tidak ada siapa akan menyediakan itu semua melainkan kami suami isteri perlu bekerja keras,” ujarnya.

isteri dan suami bekerjasama
Suami bantu isteri dalam setiap aspek kerja di rumah, memudahkan kejayaan isteri di tempat kerja.

Mula bekerja dengan kelulusan Ijazah Komunikasi, beliau kemudian menyambung pengajian di bidang Sarjana Korporat Komunikasi sewaktu anak lima orang.

“Ketika belajar sambil bekerja, dapat  pula anak nombor enam, pergi kelas dalam keadaan mengandung dan menduduki peperiksaan sewaktu dalam berpantang,” ceritanya sambil menambah, dengan kelulusan itu beliau dinaikkan ke pangkat sekarang.

Selesai pengajian sarjana, beliau dan suami mengerjakan haji pada 2010 dan di sana mereka berdoa untuk mendapat anak perempuan “Balik, langsung mengandung dan dapatlah anak perempuan, menjadikan dua orang, yang lain semua lelaki,” ujarnya.

Kejayaan Demi Kejayaan

Sekembali bekerja selepas berpantang melahirkan anak ketujuh itulah beliau dinaikkan ke pangkat Pengurus Jualan dan Pemasaran Cawangan, sehingga kini sudah empat tahun menyandangnya.

“Ketika dalam jawatan itu, saya seterusnya mengambil Certified Credit Profesional (CCP) dari Asian Institute of Chartered Bankers, kelulusan yang memberi lebih peluang untuk naik ke jawatan Pengurus Bank,” tambahnya yang masih lagi berhasrat untuk menimba ilmu.

Setelah 20 tahun di industri perbankan dengan semua kelulusan itu, Kamarulhayati bercita-cita melanjut ke peringkat tertinggi, iaitu kedoktoran falsafah atau PhD (Doctrate in Business Admin).

Satu perkara yang membuat beliau tidak sepenat isteri lain kerana mempunyai suami yang bertoleransi, sama-sama melaksanakan tanggungjawab hatta turut menanggung kerja yang lumrahnya dibuat wanita iaitu memasak dan memantau pelajaran anak-anak.

Pentingkan Pendidikan Sendiri dan Anak

Mengenai didikan anak, Kamarulhayati berkata, cara untuk memastikan masing-masing membesar sebagai insan berkualiti, mereka dimasukkan ke sekolah agama rendah dan menengah.

“Tujuan supaya dari kecil mereka ada asas yang teguh, mengenal Allah, enam rukun iman, lima rukun Islam dan fardu ain. Mereka juga wajib khatam al-Quran semasa sekolah rendah,” tegasnya sambil menambah didikan agama yang kuat perlu sebagai benteng pertahan diri dalam era globalisasi dan serba mencabar ini.

Selain itu katanya, walaupun ada pembantu, anak remaja perlu kemas tempat tidur, bilik air, gosok baju dan basuh sendiri pinggan mangkuk. Dengan masing-masing tahu tanggungjawab, meringankan bebanan mereka.

“Agar hidup tidak tergelincir, kami memantau aktiviti anak remaja melalui facebook, instagram dan wechatt mereka,” tambahnya.

 

anak-ramai-bawa-rezeki
Sibuk tidak terkata, melayan anak yang ramai, terutama sewaktu mereka hendak ke sekolah.

Bagaimana pula dengan cerita di tempat kerja?

“Sebenarnya saya juga berasa bertuah punya majikan yang sangat prihatin dengan memberi waktu kerja anjal. Bagi saya, cara ini lebih produktif memandangkan jarak rumah saya dengan pejabat adakala mengambil masa dua jam memandu pada waktu puncak,” ujarnya sambil menambah, bayangkan kesukarannya jika perlu sampai tepat pada waktu setiap hari.

Kamarulhayati turut menceritakan lagi, “Selain membuat perniagaan dalam talian, bidang hartanah dan kontraktor, suaminya juga fokus dalam perniagaan katering setelah mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Dengan itu, apabila memasak untuk pelanggan, kami tambah kandungan, masak sekali untuk sekeluarga, justeru jimat dari segi masa dan tenaga,” dedahnya.

Setakat ini mereka mengambil tempahan apa jua jenis makanan untuk majlis samada Doa selamat, harijadi , pertunangan, jamuan korporat, pejabat dan Sekolah. Tugas memasak, semuanya dilakukan oleh suaminya yang mewarisi kemahiran dan pengalaman memasak melalui ibunya Hjh Che Rom yang mahir memasak dan sering menerima tempahan untuk menyediakan makanan untuk berbagai  majlis.

Perihal suami

Suaminya Mohd Yazin berkelulusan Sarjana Pengurusan, memulakan kerjaya sebagai pegawai bank, setelah berkahwin, mendapat tawaran sebagai pengurus cawangan sebuah syarikat telekomunikasi. Berhenti kerja dengan pengalaman 20 tahun dalam bidang itu.

Dengan ada anak masih kecil, perjuangan mereka masih jauh.

Ada fikir punyai anak ramai satu kesilapan, tetapi bagi Kamarulhayati, dengan mendapat suami bertanggungjawab, menjadikan pengalamannya melahirkan anak tujuh orang adalah yang terindah.

“Anak bukanlah bebanan, sebalik mereka adalah pintu rezeki. Selain itu, dapat menunaikan haji bersama suami ke tanah suci Mekah juga adalah pengalaman terindah bagi saya,” ujarnya menamatkan perbualan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here