SHARE

Oleh: Ida Rahim

Ada ibu bapa bertoleransi memberi pilihan kepada anak memilih sendiri calon isteri atau suami.  Persoalannya adakah wajar anak diberi kebebasan memilih pasangan hidup? Lain orang lain prinsipnya. Bagi Haji Ruslin Ibrahim, 55 yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Tam, iaitu pemilik rangkaian restoran Tu…Dia Pak Tam, sebagai bapa beliau bertanggungjawab memilih bakal menantunya.

pak-tam-pemilik-restoran-
Ruslin Ibrahim lebih mesra dengan panggilan Pak Tam.

“Dalam hal ini, anak perempuan lebih-lebih lagi perlu nak berjaga-jaga,” katanya sambil menambah kalau pilihan pasangan untuk anak perempuan tidak betul akan mendatangkan banyak masalah pada masa akan datang.  Jadi, beliau menegaskan, tip atau petua pilih calon isteri atau suami untuk anak, serahlah pada orang tua!

“Bak nasihat salah seorang anak perempuan saya kepada adik-adiknya, ayah nampak, apa yang kau orang tak nampak!”

Menurutnya lagi, beliau dan anak perempuan itu pernah setahun tak bercakap apabila dia tidak diberi keizinan untu berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya.

Keadaan itu menimbulkan ketegangan di antara dua beranak itu sehingga si anak itu memberontak.

“Setahun kami tak bertegur sapa, tetapi sewaktu bekerja dengan saya dia profesional. Dia boleh bercakap seperti biasa, tetapi balik saja ke rumah, terus masuk bilik dan tutup pintu. Tv pun tengok seorang diri dalam biliknya,” cerita Pak Tam sambil mengakui tidak berputus asa untuk merancang yang terbaik untuk anak dan ahli keluarganya.

pak-tam-ruslin-ibrahim
Ruslin (kiri) bersama salah seorang anak.

Punca menghalang kata Pak Tam lagi, “kerana siasatan dengan kawan-kawannya, didapati dia tidak sesuai, saya kena mohon maaf secara baik. Pak Tam beritahu kepada dia, Pak Tam tak pandang miskin kaya atau rupa, tetapi pilihan bergantung kepada siasatan.”

Pak Tam seterusnya menegaskan, sebagai orang tua perlu bijak menilai, “Jangan apabila diperkenalkan saja, kita kata ya!”

Namun Pak Tam menolak anggapan beliau keras dalam mendidik anak.

“Kita tidak sepatutnya bersikap keras sangat, apa tak betul kita tegur dulu, dalam tegur itu kita bertindak. Dalam kes anak perempuan tu dulu, saya ajak dia pergi umrah, dan lama-kelamaan dia sedar yang keputusan saya itu betul.”

Menurut Pak Tam lagi, sekarang ini anak perempuan itu pula yang menjadi penyokongnya, dan menasihatkan adik-adiknya agar mendengar pendapat ayah dalam bab mencari jodoh.

“Dia kata, kalau ayahnya tak halang dia berkahwin dengan lelaki yang dia suka dulu, tidak tau apa jadi padanya. Dia kata kepada adik-adiknya, ayah nampak apa yang kau orang tak nampak.”

Menurut Pak Tam lagi, sebagai orang tua yang banyak pengalaman dalam membina kejayaan hidup, beliau tahu apa yang dia buat.

“Sesuatu keputusan itu perlu dibuat mengambil kira banyak aspek untuk mendapat kesempurnaan,” ujarnya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here